KALAU Tak Jatuh Boleh Podium - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/28/20241 min read

FABIO Quartararo terus memberikan bayangan mengenai kebangkitan Yamaha selepas mengakui berpeluang untuk mengisi kedudukan podium di Thailand.

Tetapi apa yang mengecewakan, juara dunia MotoGP 2021 itu terjatuh sekaligus memaksanya menamatkan perlumbaan di Buriram di kedudukan ke-16.

Di sebalik keputusan buruk yang diperolehnya, pelumba kelahiran Perancis itu begitupun kagum dengan prestasi yang ditunjukkan jentera Yamaha M1 malah berpandukan catatan masa, Quartararo menjangkakan dia boleh mengisi kelompok 10 terbaik atau lebih baik podium.

"Ia sukar kerana saya sentiasa melihat TV di mana (Francesco) Bagnaia berada," kata Quartararo memetik laporan Crash.net.

"Saya tahu dia mencipta jurang dengan kami, tetapi jurang yang dibina itu bukan terlalu besar. Saya fikir di antara tempat ketiga dan ketujuh adalah realistik, tetapi saya hanya melihatnya di TV, jadi sukar untuk menjelaskannya."

Quartararo turut menjelaskan yang dia bergelut untuk mendapatkan suhu yang diperlukan untuk tayar belakang ketika perlumbaan kering di Buriram dan isu sama turut berlaku pada perlumbaan 'basah'.

Tetapi apa yang positifnya adalah kepantasannya selepas kemalangan masih boleh dianggap baik jika dibandingkan dengan Bagnaia disebalik kerosakan yang dihadapi M1.

"Saya fikir selepas kemalangan, malah ketika saya tanpa sayap, 'bar handle' bengkok, tiada brek belakang, peg kaki kanan patah setengah, saya fikir kelajuan kami bagus. Saya fikir ia aesuatu yang positif."