KALAU 'Wildcard' Berterusan, Macam Mana Nak Bersaing?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/13/20233 min read

SUKAR untuk memberi impak atau bersaing hanya dengan tiket 'Wildcard'. Itu antara luahan penting pelumba 'Wildcard' negara, Helmi Azman selepas mengharungi perlumbaan Moto2 Grand Prix Malaysia 2023 dengan cara berkenaan, semalam.

Pada perlumbaan semalam, Helmi muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-23 sekalipun memulakan saingan di kedudukan tercorot (petak ke-31).

Seorang lagi pelumba negara yang turut beraksi secara 'wildcard' bersama pasukan PETRONAS MIE Racing RW, Azroy Hakeem Anuar tak melepasi garisan penamat selepas mengalami kemalangan.

Memetik laporan media tempatan, Helmi yang pertama kali beraksi sebagai pelumba 'Wildcard' dalam kelas berkenaan berpendapat pelumba yang dipilih beraksi dengan 'tiket' sepertinya patut mendapat pendedahan lebih banyak terutama di Eropah.

Mengakui bertuah dan bersyukur dengan peluang yang diberi, Helmi berkata pengalaman bersaing di perlumbaan di Eropah akan memberikan banyak manfaat terutama untuk mencabar pelumba sepenuh musim di kejuaraan berkenaan.

"Kalau ada peluang, saya perlu berada di CEV Moto2 (kini Kejuaraan Dunia JuniorGP) kerana saya boleh banyak belajar.

"Kalau terus bermain secara 'wildcard', memang sukar untuk memberikan saingan kepada mereka," kata Helmi yang pernah bergelar juara keseluruhan kejuaraan Cub Prix Malaysia dalam kelas elit CP150.

"Di trek sendiri pun kita boleh lihat saya agak bergelut, tetapi kalau ada program untuk saya di CEV atau sebagainya, mungkin itu akan membantu saya lebih mempamerkan peningkatan," katanya.

Sementara itu, Azroy mengakui kecewa dengan keputusan diraih di Sepang sekalipun banyak peningkatan ditunjukkan sejak hari pertama dia mula menunggang jentera berkenaan pada Jumaat.

Selain berlumba di pentas Cub Prix, Helmi dan Azroy turut beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan Boon Siew Honda dalam kelas SS600 menggunakan jentera Honda CBR600RR.

Sebagai info, jentera yang digunakan di kejuaraan Eropah antaranya JrGP lebih mirip jentera yang digunakan di Kejuaraan Motosikal Dunia iaitu Moto3 dan Moto2.

Sebagai info, pengumuman mengenai penyertaan pelumba Malaysia menerusi tiket 'Wildcard' di GP Malaysia 2023 dilakukan di saat akhir dan disahkan menerusi rakaman video beberapa hari sebelum saingan membuka tirainya.

Setakat ini, tiada sebarang perincian mengenai pemilihan pelumba atau berapa banyak dana yang digunakan didedahkan dengan Azroy dan Helmi baru saja menghabiskan perlumbaan di ARRC 2023 pada minggu sebelumnya.

Keputusan perlumbaan Moto2 GP Malaysia 2023

1. Fermin Aldeguer (SPA) Beta Tools SpeedUp BOSCOSCURO, 36'04.378s

2. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM Ajo KALEX, +7.128s

3. Marcos Ramirez (SPA) OnlyFans American Racing KALEX, +9.558s

4. Ai Ogura (JPN) IDEMITSU Honda Team Asia KALEX, +9.992

5. Jake Dixon (GBR) Inde GASGAS Aspar Team KALEX, +11.652

6. Somkiat Chantra (THA) IDEMITSU Honda Team Asia KALEX, +13.675

7. Sam Lowes (GBR) Elf Marc VDS Racing Team KALEX, +15.200

8. Joe Roberts (USA) Italtrans Racing Team KALEX, +18.482

9. Albert Arenas (SPA) Red Bull KTM Ajo KALEX, +20.004

10. Tony Arbolino (ITA) Elf Marc VDS Racing Team KALEX, +20.990

11. Barry Baltus (BEL) Fieten Olie Racing GP KALEX, +21.570

12. Jeremy Alcoba (SPA) QJMOTOR Gresini Moto2 KALEX, + 23.489

13. Alex ESCRIG (SPA) Forward Team FORWARD, +25.791

14. Filip SALAC (CZE) QJMOTOR Gresini Moto2 KALEX, +29.853

15. Dennis FOGGIA (ITA) Italtrans Racing Team KALEX, +29.923

16. Taiga HADA (JPN) Pertamina Mandalika SAG Team KALEX, +32.681

17. Bo BENDSNEYDER (NED) Pertamina Mandalika SAG Team KALEX, +33.361

18. Zonta VD GOORBERGH (NED) Fieten Olie Racing GP KALEX, +38.800

19. Sean Dylan KELLY (USA) Forward Team FORWARD, +41.799

20. Rory SKINNER (GBR) OnlyFans American Racing KALEX, +44.758

21. Mattia CASADEI (ITA) Fantic Racing KALEX 36'57.595 152.9 53.217

22. Alonso LOPEZ (SPA) Beta Tools SpeedUp BOSCOSCURO, +58.554

23. HELMI AZMAN (MAL) Petronas MIE Racing RW KALEX, +1'09.940

24. Lukas TULOVIC (GER) Liqui Moly Husqvarna Intact GP KALEX, +1'20.633

25. Sergio GARCIA (SPA) Pons Wegow Los40 KALEX, +1 lap

Azroy Hakeem Anuar (MAL) Petronas MIE Racing RW (Kalex) DNF

Celestino Vietti (ITA) Fantic Racing (Kalex) DNF

Aron Canet (SPA) Pons Wegow Los40 (Kalex) DNF

Manuel Gonzalez (SPA) Correos Prepago Yamaha VR46 (Kalex) DNF

Kohta Nozane (JPN) Correos Prepago Yamaha VR46 (Kalex) DNF

Izan Guevara (SPA) Inde GASGAS Aspar Team (Kalex) DNF