'KALAULAH Menang Lagi Awal...'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/7/20241 min read


MARC Marquez menyatakan sasarannya ketika menyertai Gresini Ducati adalah untuk kembali merasai nikmat kemenangan di MotoGP dan ia berhasil.
Menggunakan jentera Ducati GP23 yang setahun lebih 'tua' berbanding Ducati GP24 ditunggang Jorge Martin atau Pecco Bagnaia, juara dunia lapan kali itu berjaya menamatkan kemarau kemenangannya yang berlarutan sehingga tiga tahun.
Dan ia diperoleh pada Pusingan ke-12 di Aragon, Sepanyol pada September sebelum menjulang dua lagi kemenangan di San Marino dan Australia sebelum menamatkan kempen di tangga ketiga keseluruhan.
Dalam satu temuramah 'podcast' bersama Crash.net, ketua krew Marquez di Gresini, Frankie Carchedi kagum dengan adaptasi pelumba Sepanyol itu bersama jentera Desmosedici dan memberi bayangan sesuatu mungkin berlaku jika kemenangan diraih lebih awal.
"Marc sudah pun pantas di Valencia (ujian). Tetapi apabila kamu melakukan ujian, kamu boleh menggunakan langkah kamu sendiri dan bekerja menerusi program kamu," kata Carchedi yang pernah membantu Joan Mir meraih gelaran dunia MotoGP bersama Suzuki pada 2020.
"Malah simulasi perlumbaannya di Sepang dan Qatar juga amat bagus. Masalahnya adalah apabila kami kembali ke pusingan di Eropah, perlu mengharungi 20 pusingan, kemudian kamu pergi ke kelayakan dan kami tidak bersedia.
"Ducati mempunyai teknik juga untuk melakukan satu pusingan terpantas di pusingan terakhir untuk mendapatkan yang terbaik dan saya tidak fikir yang kami dapat untuk layak terus ke Kelayakan 2 pada separuh musim tahun ini.
"Jadi kemudian selepas itu kesemua minggu adalah membabitkan kebangkitan. Itulah bagaimana ia berlaku (format mingguan). Amat sukar untuk seseorang pada tahun pertamanya (menggunakan jentera berbeza) untuk terus melakukan 'cetusan' dengan lebih pantas.
"Pada separuh masa kedua musim, kami dapat melayakkan diri ke Kelayakan 2 dengan mudah. Kemudian strategi pada hujung minggu berubah kerana kamu boleh bekerja untuk kelajuan ketika perlumbaan dan perkara lain lebih panjang.
"Itu adalah perkara yang paling besar berlaku sepanjang tahun.
"Mungkin perkara boleh berlaku dengan berbeza jika kami mendapatkan kemenangan lebih awal," kata Carchedi.
