KALENDAR ARRC 2025 Diumum, Malaysia Pusingan Ke-2!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/28/20241 min read


SIRI perlumbaan berprestij, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) seperti musim ini sekali lagi dijadual berlangsung sebanyak enam pusingan bagi musim 2025.
Pengumuman itu dibuat promoter kejuaraan itu, Two Wheels Motor Racing (TWMR) hari ini yang menyaksikan Thailand (Buriram) sekali lagi akan menjadi destinasi pembuka tirai musim 2025 dan pusingan terakhir.
Sebelum kempen pusingan pembuka tirai yang dijadual pada 25 hingga 27 April, ujian rasmi turut berlangsung di Buriram, Thailand pada 23 April.
Malaysia pula akan menjadi destinasi Pusingan 2 yang dijadual pada 30 Mei hingga 1 Jun di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
Turut disenarai pada musim ini adalah pusingan di Jepun (Motegi) dan Indonesia (Mandalika).
Begitupun, venue Pusingan 5 masih belum ditentukan dengan pusingan penutup musim di Buriram dijadual pada 5 hingga 7 Disember 2025.
Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg berkata, pihaknya yakin yang musim 2025 akan tampil mengujakan dan peluang yang baik untuk semua pihak yang terbabit dengan kejuaraan itu.
"Sukan permotoran kini bukan saja sukan tetapi sesuatu yang boleh mengubah industri yang memacu kreativiti dan pertumbuhan dalam inovasi dan teknologi, elemen yang sangat diperlukan yang mencabar kapasiti manusia melawan mesin," kata Ron.
"Bersama ARRC, itulah yang kami harapkan untuk komuniti ini, ujian yang mendorong pasukan-pasukan bertanding dan pelumba untuk mencapai kejayaan melebihi pecahan rekod.
"Dari segi pembabitan, pelbagai inisiatif sudah dalam perancangan dan akan direalisasikan dengan sewajarnya untuk memastikan ia progresif dan pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia tetapi di peringkat global."
Presiden FIM Asia, Stephan Carapiet berkata pihaknya akan terus berusaha untuk meningkatkan jangkauan dan memupuk minat di kalangan orang muda dalam sukan permotoran.
"Kami berharap dapat melihat pembaharuan motivasi dan kekuatan dari kalangan ahli kami serta tahap peningkatan tahap persaingan di kalangan pasukan dan pelumba," katanya..


