KALENDAR Cub Prix PETRONAS MAM 2026 Diumumkan – 8 Pusingan

Kempen Cub Prix kali ini akan menyaksikan lima perlumbaan berlangsung di litar tetap, termasuk dua kali di Litar Antarabangsa Sepang (Utara dan Selatan), selain di Litar Lumba Tangkak, Litar LYL dan Litar Permotoran Terengganu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/29/20261 min read

SIRI perlumbaan berprestij Kejuaraan Cub Prix PETRONAS MAM Malaysia yang akan memasuki tahun ke-33 pada tahun ini bakal berlangsung dengan 8 pusingan, kurang dua pusingan berbanding 10 pusingan pada edisi tahun lalu.

Saingan kali ini akan menyaksikan lima perlumbaan berlangsung di litar tetap, termasuk dua kali di Litar Antarabangsa Sepang (Utara dan Selatan), selain di Litar Lumba Tangkak, Litar LYL dan Litar Permotoran Terengganu.

Menariknya, dua pusingan turut berlangsung di Johor sebagai pembuka dan penutup tirai.

Pusingan 1 yang dijadual membuka tirainya pada 25 dan 26 April di Litar Lumba Tangkak manakala pusingan terakhir akan berlangsung di Bandar Medini Iskandar pada 21 hingga 22 November.

Sekali lagi, penganjuran kali ini menyaksikan kerjasama jangka panjang antara PETRONAS dan Safe Aim Mutual (SAM).

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg, menegaskan misi Cub Prix untuk meningkatkan prestasi perlumbaan motosikal nasional kekal utuh.

"Musim akan datang menyaksikan pembangunan prestasi yang lebih menyeluruh. Selain itu, pembabitan komuniti akan terus menjadi keutamaan dengan inisiatif berterusan bagi membina kesedaran dan minat,” katanya.

Ron turut menambah bahawa kejayaan musim lalu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan rakan strategik, khususnya PETRONAS, serta sumbangan kolektif semua pihak yang terbabit.