KALENDAR WSBK 2024 Diumum, Kekal 12 Pusingan, Mandalika 'Ghaib'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/26/20231 min read

PERLUMBAAN Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) akan kekal berlangsung sebanyak 12 pusingan bagi musim 2024 yang turut termasuk dua venue baharu dengan Mandalika akhirnya 'ghaib' dalam senarai.

Daripada 12 venue yang diumumkan, hanya satu pusingan berlangsung di luar Eropah iaitu perlumbaan pembuka tirai di Phillip Island, Australia.

Pada musim ini, Mandalika, Indonesia menjadi gelanggang untuk Pusingan kedua yang menyaksikan tiada perlumbaan WSBK berlangsung di Asia, musim depan.

Dua venue baharu yang menyertai 'keluarga' WSBK musim depan adalah Balaton Park, Hungary (Pusingan 8) dan Litar Cremona, Itali (Pusingan 10).

Begitupun, kedua-dua gelanggang itu masih tertakluk kepada homologasi.

Selepas membuka tirai di Australia pada 23-25 Februari, Litar Catalunya, Barcelona menjadi perlumbaan 'buka tirai' WSBK di Eropah yang dijadual pada 22-24 Mac.

Seperti musim ini, perlumbaan pusingan ke-12 sekali lagi berlangsung di Jerez, Sepanyol pada 11-13 Oktober.

Perlumbaan WSBK musim ini akan melengkapkan aksinya di Jerez, Sepanyol hujung minggu ini dengan dengan dua pelumba, Alvaro Bautista (Ducati) dan Toprak Razgatlioglu (Yamaha) berpeluang menjulang kejuaraan dunia.