'KAMI Belum 100 Peratus Sedia'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/19/20251 min read


PENYANDANG juara dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu mengakui persediaan pasukan dan dirinya untuk menghadapi kempen baharu kejuaraan itu masih belum di tahap 100 peratus.
Saingan WSBK 2025 dijadual membuka tirainya di Phillip Island, Australia hujung minggu ini mengikuti ujian pra-musim terakhir di litar sama pada Isnin dan Selasa lalu.
Pelumba kelahiran Turki itu mengalami kemalangan pada hari pertama ujian tetapi tidak berdepan kecederaan serius. Tetapi baginya, situasi itu merencatkan program ujian terutama untuk mencari pelarasan sempurna terhadap BWM M1000RR.
"Selepas kemalangan, terutama pada hari kedua, kami memulakannya dengan baik kerana sasaran kami adalah untuk mencari pelarasan yang tepat untuk perlumbaan," kata Razgatlioglu.
"Kami akhirnya menemui sesuatu, tetapi kami masih belum 100 peratus bersedia.
"Selepas kemalangan, kami kehilangan dua jam tunggangan, dan pada tengah hari hujan turut turun, jadi kami hanya memperoleh lapan minit terakhir untuk menunggang jentera.
"Kami menemui beberapa perkara, tetapi kami masih belum 100 peratus, jadi kita lihat apa yang akan berlaku pada Jumaat. Minggu ini amat penting, dan kami akan melakukan yang terbaik, seperti kebiasaan."
Razgatlioglu sebelum ini turut berdepan kecederaan jari ketika menjalani latihan dan merasakan keadaan fizikalnya belum di tahap terbaik.
"Ia sama seperti sebelum ini, tetapi saya terus menunggang jentera," katanya. "Sebagai pelumba, penting untuk kami terus menunggang. Ini adalah minggu yang penting kerana ia perlumbaan pertama musim 2025.
"Sekalipun saya belum 100 peratus, selepas beberapa pusingan, kesakitan itu tidak begitu teruk dan saya masih boleh menunggang tanpa masalah. Kami juga melakukan beberapa pusingan dengan tayar perlumbaan, jadi saya agak teruja untuk menghadapi perlumbaan pertama."
Sebagai rekod, Phillip Island menjadi satu-satunya litar yang Razgatlioglu tidak berjaya meraih sebarang podium pada musim 2024.
