KAMI Keluarga Bertuah - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/26/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan dirinya bertuah selepas masih mampu menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) British 2025, semalam di posisi podium disebalik terbabit kemalangan.

Sekali pun memulakan perlumbaan di petak ke-4, pendahulu carta kejuaraan MotoGP musim ini itu mula memimpin perlumbaan selepas adiknya, Alex Marquez mengalami kemalangan seawal selekoh pertama di Silverstone.

Tetapi, kelebihan itu tidak lama apabila juara dunia lapan kali itu turut terjatuh pada pusingan ke-2 di selekoh 11.

Apa yang menariknya dan mungkin disebabkan tuah, kedua-duanya dibenarkan kembali menyertai perlumbaan selepas bendera merah dikibarkan susulan tumpahan minyak di litar akibat kemalangan membabitkan Franco Morbidelli dan Aleix Espargaro.

"Hari ini (Semalam) keluarga Marquez adalah keluarga paling bertuah," kata Marquez ketika sidang media. "Kami melakukan kesilapan pada perlumbaan 'pertama'.

"Saya agak marah. Perasaan pada perlumbaan pertama menakjubkan."

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menambah kesilapan yang dilakukannya itu tidak sama seperti di Austin atau Jerez.

"Ia memang kesilapan yang berbeza. Hari ini (Semalam) keadaan amat berangin. Kami tidak melakukan sebarang perkara yang aneh. Mungkin saya tidak mempertimbangkan keadaan angin.

"Saya juga terjatuh pada Jumaat menggunakan tayar depan jenis medium dan merasaannya tidak begitu baik, tetapi saya tidak mempertimbangkan langsung berlumba dengan tayar kompaun soft kerana gaya tunggangan saya.

"Daripada perlumbaan pertama ke perlumbaan dua, saya tidak mahu kata yang ia adalah tayar. Saya tidak mahu berkata ia kerana jentera. Saya tidak mahu berkata ia (disebabkan) oleh saya. Kami perlu menganalisanya.

"Pada perlumbaan pertama saya merasa bagus. Yang kedua, kami menukar jentera dan tayar, dan baru saja mengalami kemalangan, jadi mungkin saya lebih kaku dan jentera juga tidak dapat mengambil selekoh dengan baik atas alasan ini. Kami perlu memahaminya."

Marquez berkata selepas kesilapan pada perlumbaan 'pertama', dia cuba mengawal situasi terutama untuk memahami posisinya berbanding pencabar kejuaraan.

"Saya melakukan kesilapan kedua, saya melepaskan posisi," katanya. "Kemudian saya cuba meminimakan drama. Apabila saya lihat saya berada di depan Alex (Marquez) dan Pecco (Bagnaia), saya memutuskan untuk kekal dan menamatkan perlumbaan.

"Sebagai contoh apabila saya terjatuh di selekoh ke-11, keadaan angin amat sukar. Saya perlu memperbaiki kesilapan-kesilapan saya."