KAMI Sedang Menunggu Martin - Rivola
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/27/20251 min read


APRILIA ketika ini sedang 'menunggu' Jorge Martin bagi menyelesaikan 'kemelut' yang terjadi membabitkan penyandang juara dunia MotoGP itu.
Bos Aprilia Racing, Massimo Rivola berkata kemenangan Marco Bezzecchi di Silverstone membuktikan yang pengeluar Itali itu memiliki jentera berkualiti dan mampu meraih kemenangan.
Martin yang digandingkan bersama Bezzecchi bagi musim 2025 berdepan permulaan sukar apabila berdepan pelbagai siri kemalangan dan kecederaan yang memaksanya tersisih selama beberapa bulan.
Situasi bertambah sukar apabila pelumba kelahiran Sepanyol itu dikatakan sedang mencari jalan untuk meninggalkan pasukan berpangkalan di Noale itu menerusi klausa kontraknya.
"Kami, boleh dikatakan, sedang menunggunya (Martin)," kata Rivola memetik laporan Crash.net. "Misi kami adalah untuk memiliki jentera yang sebaik mungkin apabila dia kembali, dia akan memperoleh jentera yang mungkin terbaik dan bersedia untuk menang.
"Hari ini (Ahad) kami membuktikan yang jentera kami boleh menang, tetapi kami perlu melakukannya banyak kali."
Rivola dalam pada itu mengakui faham dengan dilema yang dihadapi Martin terutama dari sudut mental.
"Apabila kamu menghabiskan banyak masa di atas katil, menderita di hospital, tiada siapa boleh tahu berapa banyak masa yang buruk itu berlalu. Ini adalah sesuatu yang kita perlu hormati," kata Rivola.
"Pelumba perlu menunggang lebih banyak berbanding menghabiskan banyak masa menderita di rumah."
Mengulas mengenai spekulasi yang sedang 'bermain', Rivola berkata perkara itu sepatutnya dibincangkan secara dalaman.
"Ada banyak cara yang lebih baik untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi sentiasa sukar apabila kedua-dua pihak jauh antara satu sama lain. Ia adalah situasi yang sukar."
Dan jika jalan penyelesaian sudah pun ditemui dan Martin akhirnya kembali berlumba, Rivola berkata pihaknya bersedia terutama bagi memulihkan hubungan antara mereka.
"Apa yang boleh saya katakan, kita akan selesaikan satu demi satu perkara terlebih dulu. Terutama sekali, kami perlu dia untuk kembali terlebih dulu dan kemudian berfikir untuk memulihkan semula kepercayaan.
"Kemudian, seperti kamu semua tahu, apabila kamu sudah berkahwin, kamu memerlukan kedua-dua pihak untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Kami sudah bersedia untuk melaksanakan kerja kami."
