KAPCAI 'ADV' Yamaha PG-1 (2024) Muncul Di Thailand, Aveta Ranger Max Explorer Boleh Mula Risau

TERKINI

12/1/20231 min read

YAMAHA Thailand memperkenalkan motosikal 'kapcai' yang diposisi dalam segmen kembara atau lasak 'ADV' Yamaha PG-1 (2024) - model unik yang semakin mendapat perhatian ketika ini.

Diperkenalkan secara rasmi ketika Pemeran Motor Antarabangsa Thailand (2023) yang sedang berlangsung, penampilan Yamaha PG-1 di Thailand boleh dianggap sebagai debut global motosikal berkenaan.

Dari sudut rekaan, Yamaha PG-1 (2024) tampil dengan rekaan mirip Honda CT125 - tiada 'fairing' - dan diselitkan dengan unsur retro menerusi penggunaan lampu depan dan belakang berbentuk bulat.

Untuk dibawa mengharungi laluan lasak, Yamaha PG-1 (2024) dibekalkan dengan sistem suspensi istimewa menerusi fork teleskopik dengan jarak 'travel' 130 mm yang lengkap dengan pelindung dan penyerap hentak kembar dengan jarak 'travel' 109 mm.

Dan seperti motosikal 'ADV' lain, Yamaha PG-1 (2024) memiliki jarak lega bumi yang tinggi 190 mm, posisi ekzos yang tinggi dan bar hendal yang tinggi dan lebar.

Bagi meningkatkan lagi penampilannya sebagai motosikal 'scrambler retro', ia turut dipadankan dengan panel meter berbentuk bulat dan pelana jenis terpisah untuk penunggang dan pembonceng.

Di bahagian trenkuasa, Yamaha PG-1 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 114 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Udara, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Sistem brek pula menggunakan brek cakera tunggal (depan) dan dram (belakang) dengan set roda 90/100-16 (depan) dan 90/100-16 (belakang) dengan rim jenis 'spoke' atau jejari.

Empat pilihan warna ditawarkan untuk motosikal ini iaitu Kuning, Biru, Hitam dan Coklat dengan harga yang diumumkan adalah 64,900 Baht (RM 8,616).

Di pasaran Malaysia, syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta Motor baru-baru ini memperkenalkan penawaran dalam segmen sama dikenali Aveta Ranger Max Explorer dan dijual pada harga RM 6,988.

Dan jika pihak Yamaha Motor Malaysia bertindak membawa masuk Yamaha PG-1, apa yang pasti Aveta Motor perlu merasa bimbang terutama jika ia tiba pada harga yang tak jauh beza.