KAPCAI Gaya ADV Klasik, Kamax Cub-X Bakal Masuk Malaysia, Pelancaran Q3 2025!
TERKINI
3/8/20252 min read


KAMAX Motorcycle yang membuat debut di pasaran tempatan pada penghujung tahun lalu bakal meningkatkan penawarannya dan lebih menarik dalam segmen kapcai 'Adventure' klasik, Kamax Cub-X (2025).
Kepada yang belum tahu, Kamax Motorcycle melancarkan penawaran sulungnya di Malaysia menerusi Kamax Super Pro 125 pada November lalu dan kehadirannya di pasaran tempatan adalah menerusi KTNS Sdn Bhd.
Ketika majlis pra-tontonnya di China, baru-baru ini, pihak Kamax Motorcycle mengumumkan komited untuk meningkatkan kehadirannya di pasaran tempatan khususnya untuk motosikal yang diposisi dalam gaya hidup.
Dan tidak mahu menunggu lama, syarikat itu turut mengumumkan yang pelancaran Kamax Cub-X (2025) di pasaran tempatan dijadualkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini.
Begitupun sedikit mengecewakan, mereka belum mendedahkan angka jualan motosikal berkenaan tetapi ia dijangka sekitar RM 9k menyertai Kamax Super Pro 125 yang dijual pada harga RM 8,888 (asas).
Dari sudut penampilan, Kamax Cub-X seperti dinyatakan lebih awal tampil dengan perwatakan sebuah kapcai klasik yang digabungkan dengan ciri-ciri lasak ADV.
Justeru, ia dilengkapi pelbagai komponen yang membolehkannya mengharungi laluan lasak seperti 'mudguard' paruh panjang, tayar jenis bata atau 'All-Terrain' dengan posisi ekzos sedikit tinggi.
Tayar berkenaan dipadankan dengan rim jejari bersaiz 17 inci tanpa tiub.
Sistem suspensi menggunakan fork telekopik konvensional 26 mm dengan jarak travel 3.5 inci (depan dan belakang) dengan suspensi belakang menggunakan penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan preload.
Mengulas trenkuasa, Kamax Cub-X dipadankan dengan enjin lebih berkuasa bersesaran 147.5 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 4 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan adalah 8.4 Hp pada 7,500 rpm dengan tork 9.3 Nm pada 5,000 rpm.
Ketika majlis pra-tonton di ibu pejabat Kamax di Chongqing, pelbagai varian Kamax Cub-X ditayangkan termasuk dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran atau Sistem Brek Combi (CBS), pelana jenis tunggal dan sebagainya.
Sekalipun datang dengan pengayaan klasik, Kamax Cub-X juga dipadankan dengan pelbagai ciri moden seperti sistem lampu LED penuh, panel meter digital LCD dan Sistem Pemantau Angin Tayar (TPMS).
Info lain adalah seperti berat 112 kg, tinggi pelana 780 mm dan tangki bahan api 3.8 liter.
Menurut Kamax Motorcycle, pihak mereka masih belum memutuskan versi mana yang bakal dijual di Malaysia tetapi ia pasti menghangatkan persaingan dalam segmen berkenaan yang kian panas.






