KAPCAI Klasik Kamax Super Pro 125 (2024) Kini Di Malaysia, RM 8.9k
TERKINI
10/11/20241 min read


SEGMEN motosikal paling 'meriah' di Malaysia iaitu 'kapcai' memperoleh pemain baharu di pasaran menerusi kehadiran Kamax Super Pro 125 (2024).
Diperkenalkan pada harga asas RM 8,888 (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran), jenama berkenaan diedarkan oleh KTNS Holdings Sdn. Bhd.
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Army Green, Matte Black termasuk warna yang turut dilabel Edisi Istimewa SE Green.
Sekalipun harga pengenalan yang diumumkan kedengaran agak tinggi, Kamax Super Pro 125 (2024) adalah kapcai dalam segmen klasik dan memiliki pelbagai ciri-ciri menarik.
Mengulas trenkuasa, motosikal ini dijana enjin bersesaran 125 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 4 kelajuan. Kuasa yang dihasilkan adalah 6.3 Kw pada 7,500 rpm dengan tork setinggi 9.3 Nm atau 5,000 rpm.
Tampil dengan rekaan ala motosikal kapcai 'lama' dengan rekaan lampu depan berbentuk bulat, begitupun Kamax Super Pro 125 (2024) memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal.
Lebih menarik, turut dipadankan dengan Sistem Kunci Pintar serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Sekalipun menggunakan panel meter digital LCD penuh, tetapi ia masih mengekalkan aura klasik dan nampak retro.
Turut unik adalah motosikal ini memiliki ruang simpanan yang berada di bahagian sisi motosikal dan untuk membukanya, pengguna hanya perlu menekan butang yang ada pada bawah pelana serta lampu signal jenis 'integrated'.
Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar (belakang) dengan kapasiti tangki minyak pula adalah sebesar 3.8 liter dengan berat 110 kg.
Sedikit info mengenai Kamax Motor, ia adalah syarikat berasal dari China yang ditubuhkan pada 2001 dan sudah terkenal di beberapa negara hasil pencapaian yang cemerlang dalam reka bentuk dan R&D.
Menurut KTNS, Kamax Super Pro 125 (2024) sudah pun boleh didapati di semua cawangan pengedar sah KTNS seluruh negara.
Jaminan pengeluar adalah selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km yang mana tiba dahulu.




















