KARNIVAL GenBlu Yamaha 2024 yang memasuki edisi ke-5 yang berlangsung di negeri Selatan Malaysia, Johor berlangsung meriah dengan penganjurannya kali ini turut mencatatkan dua rekod dalam 'Malaysia Book of Records' (MBOR).
Berlangsung di Bandar Medini, Iskandar Puteri, Johor, rekod pertama yang dilakukan adalah Perhimpunan Motosikal Yamaha Terbesar yang mencatatkan kehadiran 16,008 motosikal satu jenama di acara berkenaan.
Rekod kedua yang dimasukkan dalam buku MBOR pula adalah Konvoi Perempuan Paling Jauh.
Mencatatkan rekod berkenaan adalah ekspidisi konvoi iaitu Konvoi Jelajah Semenanjung Dewi Yamaha yang diketuai oleh duta Dewi Yamaha, Ahirine Ahirudin.
Menariknya, konvoi berkenaan tiba di Karnival GenBlu Yamaha 2024 selepas melengkapkan perjelajahan sejauh 8 hari 7 malam dan mengharungi jarak perjalanan sejauh 2,100 km membabitkan semenanjung Malaysia.
Begitupun sedikit mengecewakan, tidak seperti edisi ke-3 di Perak yang berlangsung di Lumut, tiada 'sayap' perniagaan kenderaan laut dipamerkan untuk karnival kali ini di Johor.
Seperti diketahui, Karvival GenBlu Yamaha adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai penghargaan kepada pelanggan serta rakan peniagaannya.
Dirasmikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan HLY Indusyries, Dato’ Dr. Jim Khor Mun Wei, apa yang menarik adalah gimik pelancaran acara berkenaan yang menyaksikan Pengurus Besar Jenama & Pemasaran HLYM, Hoo Wan Tim menaiki 'flying fox' untuk menyerahkan bendera Karvival GenBlu Yamaha kepada Jim Khor.
Turut hadir adalah Pengarah HLYM, Taketoshi Takabayashi dan Pengurus Besar 3S HLYM, Teo Ming Wei.
Seperti edisi terdahulu, Karvival GenBlu Yamaha menyaksikan lima buah motosikal dijadikan hadiah untuk cabutan bertuah yang turut membabitkan motosikal yang baharu dilancarkan, Yamaha PG-1 (2024) yang sudah siap menjalani proses kustom bertemakan 'Adventure' serta pakej aksesori Persona.
Motosikal lain yang berjaya dimenangi pengunjung bertuah adalah Yamaha XMax, Yamaha EZ125, Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC.
Memeriahkan acara adalah persembahan nyanyian daripada dua artis, Amir Masdi dan Ara Johari.
Antara aktiviti menarik lain yang berlangsung termasuklah aktiviti 'flying fox', tunggang uji motosikal terpilih Yamaha, pengenalan minuman bertenaga GenBlu dan Cabaran Motosikal Kustom Yamaha.