KASMA Daniel Beri Bayangan Ada Pasukan 'Wildcard' Di GP Malaysia 2023

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/4/20231 min read

ADA perkembangan mengujakan 'keluar' daripada mulut pelumba motosikal negara, Kasma Daniel Kasmayudin yang menyaksikan negara akan sekali lagi memiliki wakil secara 'wildcard' di Grand Prix (GP) Malaysia, November depan.

Ketika ditemui dalam satu majlis bersama penajanya RCB, bekas pelumba Moto2 negara itu pelumba berusia 22 tahun yang musim ini berkata dia menerima maklumat yang Petronas akan sekali mempunyai pasukan 'wildcard' sama seperti tahun lalu.

"Saya ada dengar-dengar akan ada pasukan Petronas (Wildcard) di Sepang. Jadi, saya mengharapkan untuk memperoleh tiket itu," kata Kasma.

"Ia adalah satu impian. Berlumba di depan penonton sendiri terutama di Sepang cukup menyeronokkan. Dan kalau diberi peluang untuk berlumba, saya akan pasti memberikan yang terbaik."

Tahun lalu, Kasma bergandingan bersama seorang lagi pelumba berbakat negara, Azroy Hakeem Anuar turut beraksi secara 'wildcard' di GP Malaysia 2022 bersama pasukan Petronas MIE Racing.

Berlumba bersama pasukan 'factory' Yamaha (Yamaha Gen Blu Racing Team Asean) di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini, Kasma berkata sasarannya pada musim ini adalah menghuni tangga ketiga keseluruhan terbaik perlumbaan elit Asia itu.

Begitupun, menuju ke pusingan keempat ARRC di Mandalika Indonesia, minggu depan, Kasma menghuni tangga keenam keseluruhan selepas mengumpul 61 mata.

Dan satu lagi perkembangan menarik adalah jika dia berjaya mencapai sasaran itu, atau lebih baik memenangi gelaran keseluruhan kelas ASB1000 di ARRC, dia berkemungkinan dinaikkan pangkat kembali ke Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Mengakui jentera pasukannya kurang 'umph' di awal saingan ARRC musim ini, Kasma berkata mereka kembali meraih momentum di Jepun yang menyaksikan dia berjaya menamatkan kemarau kemenangan pasukan.

"Kami ada buat perubahan kepada jentera di Jepun dan membuatkan kami dapat bersaing depan pasukan seperti BMW yang memang kuat tahun ini.

"Untuk tahun ini, saya ingin berada dalam kedudukan 5 terbaik tetapi selepas Jepun, sasaran kami berubah kepada 3 terbaik. Ini tahun kedua saya bersama pasukan di ARRC dan jika saya berjaya mencapai sasaran, pasukan berjanji untuk berlumba di kejuaraan lebih besar daripada ARRC tahun depan lebih-lebih lagi jika memenangi gelaran keseluruhan," katanya.

Dan menariknya, tempat yang dikatakan tersedia di Moto2 itu adalah pasukan milik legenda, Valentino Rossi iaitu Yamaha VR46 Team.