KASMA Daniel Mahu Menang Di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/29/20251 min read


PELUMBA pasukan Hong Leong Yamaha Racing, Kasma Daniel Kasmayudin mengakui beraksi di laman sendiri Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS memberi kelebihan dengan fokusnya adalah meraih kemenangan pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hujung minggu ini.
Selepas tiga musim bersaing dalam kelas elit ASB1000, Kasma disenaraikan pasukannya untuk beraksi dalam kelas lebih rendah iaitu Supersports 600cc (SS600) bagi musim 2025.
Dan pelumba kelahiran Johor itu membalas kepercayaan itu dengan meraih kemenangan pada Perlumbaan 2 pusingan pembukaan ARRC 2025 di Buriram, bulan lalu dan menjadi satu-satunya pelumba negara berjaya menjuarai perlumbaan di Thailand.
"Debut saya dalam SS600 pada Pusingan 1 adalah satu kejayaan manis, terutama selepas saya kehilangan momentum untuk sekian lama beraksi dalam kategori perlumbaan yang berbeza," kata Kasma yang jelas enggan mengambil pusing 'cakap-cakap' mengenai 'penurunan pangkat' perlumbaan yang dihadapinya.
"Sudah tentu cabarannya tetap besar, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pelumba yang kompetitif dan sudah pun mengukuhkan kedudukan mereka dalam kategori ini."
Kasma berkata, kemenangan di Buriram sebagai pemangkin semangat untuk menampilkan aksi terbaik di laman sendiri.
"Litar Sepang adalah perlumbaan di laman sendiri dan saya mahu menjadikannya sebagai kelebihan kepada saya," kata Kasma yang pernah berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2.
Mengulas lanjut aksi di Sepang, pelumba berusia 25 tahun itu mengakui keadaan cuaca yang tidak menentu boleh menjadi elemen kejutan tetapi apa yang penting adalah persediaan yang dilakukannya dari sudut mentak dan fizikal.
“Saya memang mahukan kemenangan di laman sendiri. Adakah ia sukar? Sudah tentu tetapi itulah keindahan dalam dunia perlumbaan kerana setiap cabaran hadir bersama kepuasan yang tidak ternilai," kata Kasma yang juga pelumba tajaan RCB Malaysia.
