KATA-Kata Hikmat Marc Marquez Kepada Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/27/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia perlu mengambil risiko untuk menewaskan Jorge Martin di Thailand jika mahu berpeluang membawa perebutan kejuaraan MotoGP musim ini ke pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol, kata Marc Marquez.
Martin dari Pramac Ducati terus memperoleh kelebihan selepas menjuarai Perlumbaan Sprint pada Sabtu yang meningkatkan jurang kepada Bagnaia dari Ducati Lenovo kepada 22 mata.
Justeru bagi Marquez yang juga juara dunia lapan kali, penting untuk Bagnaia 'menewaskan' Martin pada perlumbaan utama di Buriram.
"Esok (hari ini) kita akan melihat pertarungan yang menarik di antara Bagnaia-Martin kerana mereka menunggang dengan amat laju," kata Marquez.
"Dan Bagnaia perlu mengambil risiko kerana jika dia mahu memperoleh peluang di Valencia, dia perlu menamatkan perlumbaan di depan Martin."
Secara teori, Martin masih mempunyai kelebihan berbanding Bagnaia jika dia menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua pada baki lima perlumbaan termasuk di GP Malaysia, minggu depan.
Marquez dalam pada itu menjelaskan dia masih memburu kemenangan pada musim ini.
"Di sini (Buriram) adalah litar yang bagus dan minggu ini bagus untuk kami setakat ini. Tetapi di Malaysia adalah salah satu litar paling buruk bagi saya.
"Kita tidak pernah tahu...Sekurang-kurangnya kita perlu mengharungi satu lagi perlumbaan dalam keadaan hujan bukan?," kata Marquez sambil berjenaka.
"Tetapi saya lebih gemar jika hujan di Malaysia. Kita lihat salah satu akan berlangsung dalam keadaan litar basah.
"Tetapi selain daripada jenaka, mungkin saya akan memperoleh satu lagi peluang (kemenangan) di Valencia... Sudah tentu saya akan cuba, tetapi ia pasti amat sukar."
