KATA-Kata Valentino Rossi Jadi Azimat Kejayaan Pecco Di Valencia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/27/20231 min read

JUARA Dunia MotoGP 2023, Francesco Bagnaia mendedahkan nasihat mentornya yang juga legenda Valentino Rossi menjadi antara kunci kemenangannya 'bergandanya' di Grand Prix (GP) Valencia, semalam.

Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, pelumba pasukan Ducati Lenovo itu mendedahkan juara dunia sembilan kali itu memberitahunya untuk kekal tenang dan memahami situasi dengan lebih baik sekalipun tekanannya cukup tinggi.

Mendedahkan perkara itu, Bagnaia berkata: "Vale..., semalam (kelmarin) bertanya kepada saya mengapa saya memilih kompaun 'medium' untuk tayar belakang dan saya bertanya diri saya perkara yang sama.

"Saya tidak faham mengapa saya memilih 'medium' untuk Perlumbaan Sprint tetapi pada hari ini (semalam), ia memang berguna.

"Dia (Vale) turut memberitahu saya supaya bertenang, untuk memahami situasi dan Jorge (Martin) berada dalam situasi paling buruk kerana dia perlu menang.

"Kemenangan untuknya dan saya hanya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik, dan saya cukup laju untuk berada dalam kedudukan lima terbaik."

Mengakui tidak memburu kemenangan di Valencia, tetapi Bagnaia menjelaskan kejayaan yang diperolehnya itu sebagai 'mimpi jadi kenyataan'.

Sekalipun bermula di petak utama, Bagnaia tampak seperti menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dengan Martin cukup agresif sebelum melakukan kesilapan selepas lima pusingan.

Dan malang terus menimpa Martin apabila pelumba pasukan Pramac Ducati itu berlanggar dengan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez yang membuatkan impiannya berakhir.

Mengetahui tugas menjulang gelaran dunia MotoGP buat kali kedua berturut-turut sudah selesai, Bagnaia seperti memperlahankan rentaknya hingga dipintas dua pelumba KTM, Brad Binder dan Jack Miller.

Namun selepas kesilapan dilakukan Binder ditambah insiden yang menimpak Miller ketika memimpin perlumbaan seperti memberi petanda kepada Bagnaia - kemenangan di Valencia adalah miliknya.

"Ia menakjubkan," kata Bagnaia. "Saya merasa amat-amat gembira, tahap kegembiraan yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Apa yang lebih utama, saya amat gembira juga kerana saya memenangi perlumbaan.

"Dengan keadaan seperti hari ini (semalam), adalah sia-sia cuba untuk memenangi perlumbaan tetapi ia adalah impian saya untuk melakukannya. Saya amat gembira tetapi saya juga takut," katanya.