KATA-Kata Valentino Rossi Jadi Azimat Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/19/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia mendedahkan kata-kata nasihat daripada mentornya, Valentino Rossi menjadi antara 'kunci' kemenangan di Grand Prix (GP) Austria 2024, semalam.

Pelumba Ducati Lenovo itu melengkapkan kemenangan berganda ketiganya musim ini selepas memenangi Perlumbaan Sprint pada Sabtu dan GP pada Ahad yang turut meletakkannya sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP.

Sebagai salah seorang graduan Akademi VR46, Bagnaia menerima pelbagai nasihat daripada juara dunia sembilan kali itu termasuk sebelum perlumbaan GP berlangsung di Red Bull Ring.

"Sebelum perlumbaan, dia (Rossi) berkata kepada saya apa yang saya lakukan semalam (Perlumbaan Sprint) sudah cukup bagus, jadi hanya cuba untuk mengulanginya," kata Bagnaia.

"Selepas perlumbaan, dia amat gembira, juga kerana Celestino (Vietti) memenangi perlumbaan pertamanya tahun ini, dan dia tidak berada dalam situasi yang begitu baik, jadi kami semua turut gembira.

"Saya fikir (Marco) Bezzecchi juga melakukan perlumbaan yang baik, Franky (Morbidelli) juga tidak mendapat perlumbaan yang baik tetapi dia berjaya bangkit, jadi saya fikir ia minggu yang baik untuk akedemi."

Menyifatkan kehadiran Rossi di litar sebagai cukup membantu sekalipun legenda Itali itu perlu fokus kepada pasukannya, VR46, Bagnaia mendedahkan dia tetap akan menghubungi mentornya itu jika berpeluang.

"Sentiasa penting jika Vale ada bersama kami, tetapi saya masih banyak menghubunginya sekalipun dia tiada di sini," kata Bagnaia.

"Kami banyak bermesej, dan saya fikir ia amat membantu kerana saya memerlukan pandangan daripadanya. Jadi apabila dia berada di sini, benar yang dia akan lebih fokus kepada pasukannya, tetapi pada sebelah petang, Kami berbual semalam, dan juga pada Jumaat. Saya memerlukan pandangan daripadanya."

Mengulas prestasinya di Austria, Bagnaia berkata kelajuan yang dimiliki jenteranya mengagumkan.

"Saya hanya cuba untuk menjadi lebih laju dalam setiap pusingan berbanding Jorge (Martin) untuk mendapatkan jurang pada penghujung perlumbaan, dan sekali lagi mengawal sedikit bahagian belakang.

"Jentera saya bergerak dengan banyak ketika laluan lurus berikutan keadaan tayar belakang, dan adalah penting untuk mendapat jurang seperti ini untuk menguruskannya."

Selepas 11 pusingan, Bagnaia ketika ini mengumpul 275 mata, kelebihan 5 mata berbanding Martin.