KATANYA Tiba Bilik Pameran 31 Julai, Tapi Yamaha XMax 250 (2023) Dah Ada Yang Berpunya!

TULAR

7/30/20231 min read

YAMAHA XMax 250 (2023) 'Gen' baharu rasmi mendarat di pasaran tempatan, Jumaat lalu (28 Julai) dan menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), skuter maxi popular itu akan tiba di cawangan pengedar pada 31 Julai ini (Isnin).

Sebagai model generasi baharu, Yamaha XMax 250 (2023) mendapat perhatian ramai dan tiba pada harga 'menarik' RM 23,998 (asas), ia boleh dianggap sedikit mengejutkan.

Sekalipun tidak mendapat peningkatan dari sudut trenkuasa, Yamaha XMax 250 (2023) mendapat perubahan besar-besaran dari sudut penampilan terutama penggunaan panel badan, rekaan lampu serba yang baharu.

Perubahan lain yang menjadi tarikan pastinya di bahagian panel meter di mana skuter itu kini dipadankan dengan panel skrin serba baharu TFT berwarna yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon bimbit serta navigasi.

Turut tersedia adalah panel meter kedua yang menggunakan LCD yang memaparkan pelbagai informasi penting lain untuk skuter berkenaan.

Meninjau di laman media sosial terutama Facebook, sekalipun Yamaha XMax 250 (2023) dikatakan akan tiba di bilik pameran Yamaha Big Bikes pada Isnin ini (espk), skuter berkenaan nampaknya sudah pun boleh dibeli.

Malah ada pemilik baharu skuter itu menayangkan skuter yang dibeli mereka bersama harga jualan yang diperoleh dan kebanyakannya melakukan pembelian secara tunai.

Dan menariknya, ada cawangan pengedar Yamaha menjual skuter berkenaan pada harga OTR (Atas Jalan) pada bawah RM 27k.