KAWASAKI All Star Juru Dirasmikan, Pertama Di Utara Malaysia

TERKINI

5/11/20241 min read

KAWASAKI Malaysia terus memperkasa rangkaian jualan dan perkhidmatannya menerusi perasmian pusat pameran berstatus 4S terbaharu Kawasaki All Star Juru, Pulau Pinang, hari ini.

Terletak di lokasi strategik di Juru Auto City, Kawasaki All Star Juru dikendalikan oleh pemain terkemuka industri berkenaan di kawasan Utara Malaysia, Guan How Superbike Centre Sdn. Bhd.

Dengan status sebagai Kawasaki All Star, ia adalah pusat sehenti lengkap buat peminat jenama itu yang menempatkan bilik pameran, pusat jualan, alat ganti, servis termasuk aksesori dan kelengkapan penunggang tulen.

Untuk Kawasaki All Star Juru, ia adalah Kawasaki All Star yang ke-6 dirasmikan di Malaysia dan pertama Utara Malaysia.

Sebagai info, Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos) yang juga anak syarikat dan pengedar Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) adalah pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia.

Turut sama merasmikan Kawasaki All Star Juru adalah Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Pengarah Guan How Superbike Centre Sdn. Bhd., Tan Seng Hau dan Ketua Pegawai Pemasaran Emos, George Kashiwagi.

Roslan dalam ucapannya berkata pelantikan Guan How sebagai pengendali Kawasaki All Star Juru adalah jaminan Emos kepada seluruh warga Pulau Pinang terhadap keperluan penjagaan servis selepas jualan jenama itu.

"Sebagai salah satu pelopor dalam arena permotoran di negara ini, legasi, reputasi serta pengalaman mereka (Guan How) selama 41 tahun di Pulau Pinang menjadikan mereka pakar dalam mengendalikan produk Kawasaki," kata Roslan.

Seng Hau ketika ditemui berkata kewujudan Kawasaki All Star Juru adalah bukti kepada komitmen syarikatnya serta Kawasaki untuk 'menjaga' para pelanggannya.

"Tiada penunggang, tiada juga kami. Jadi kami berterima kasih kepada semua atas pembukaan Kawasaki All Star ini dan berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan Kawasaki dan Modenas," katanya.

Turut berlangsung sempena pelancaran rasminya yang berlangsung penuh meriah adalah majlis penyerahan 13 unit motosikal baharu yang terdiri daripada Kawasaki Versys 1000, Modenas Versys 650 dan Modenas Ninja ZX25R SE.

Selain itu, turut berlangsung adalah sesi tunggang uji membabitkan pelbagai model Kawasakid dan Modenas serta cabutan bertuah.

Lokasi Kawasaki All Star Juru

  • Guan How Superbike Centre 1680-G2B, Jalan Perusahaan, Highway Auto-City, 13600 Perai, Pulau Pinang