KAWASAKI Motor Filipina, baru-baru ini memperkenalkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter di negara itu iaitu Kawasaki Brusky 125 (2024) - model yang turut dikenali sebagai Modenas Karisma 125S di pasaran Malaysia.
Seperti Modenas Karisma 125S, Kawasaki Brusky 125 (2024) turut dipadankan dengan tiga pilihan warna sama iaitu Aqua Blue, Mystic Red and Duchess Gold.
Dan harga jualan yang diperkenalkan adalah Php 75,000 (RM 5,796).
Sekalipun dinamakan sebagai Kawasaki Brusky 125 dan diletakkan di dalam katalog Kawasaki Motor Filipina, logo Modenas turut tertera di 'fairing', enjin dan di bahagian visor skuter berkenaan.
Apa yang menarik, ia turut menggunakan 'fon' baharu yang digunakan Modenas yang diberikan 'nafas baharu' menerusi pengenalan logo baharu, baru-baru ini.
Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada ia dipadankan dengan logo baharu berbentuk 'M' 'Roadstar' namun perkataan Kawasaki berwarna hitam dan putih di bahagian panel sisi.
Diposisikan dalam kategori 'Commuter bike' dalam laman web Kawasaki Motor Filipina, perubahan antara Kawasaki Brusky 125 dan Modenas Karisma 125S tampak cukup minimum dan hanya membabitkan kosmetik.
Melihat kepada spesifikasi Kawasaki Brusky 125, ia dipacu enjin bersesaran 124.8 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api yang mematuhi piawaian 'Energy Efficient Vehicles' (EEV) dan patuh Euro4.
Dipadankan dengan transmisi automatik CVT, kuasa yang dihamburkan adalah 9.4 Hp pada 7,500 rpm dan tork 10.0 Nm pada 6,000 rpm.
Antara ciri-ciri menarik adalah seperti sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (LED), panel meter gabungan digital dan analog, sistem kunci dengan suis buka tempat duduk, soket pengecas USB, lampu kecemasan dan ruang simpanan bawah pelana sebesar 14 liter.