KAWASAKI Eliminator 500 (2024) Mendarat Di Seberang, 2 Varian, Harga RM 49.7k!

TERKINI

10/27/20231 min read

KAWASAKI Motor Indonesia (KMI) tak mahu menunggu lama untuk membawa masuk penawaran terkini jenama Jepun itu ke pasaran negara jiran dengan melancarkan model bergaya 'Kruiser' terbaharunya, Kawasaki Eliminator 500 (2024).

Selain Vulcan, nama Eliminator juga cukup sinonim dengan Kawasaki dan model terbaharunya baru saja membuat kemunculan semula di pasaran global pada tahun ini.

Tidak seperti Vulcan, Eliminator yang menggunakan kerangka 'Trellis' ini memiliki 'perwatakan' tersendiri terutama gaya lebih 'Sporty' dengan peg kaki diposisi di bahagian tengah.

Dua pilihan varian ditawarkan di pasaran Indonesia iaitu Kawasaki Eliminator 500 (2024) Standard dan SE (Special Edition).

Harga dan pilihan warna untuk kedua-duanya versi adalah seperti berikut:

  • Kawasaki Eliminator 500 (2024) Standard: Rp 169.9 juta (RM 49,725)

  • Pilihan warna: Pearl Robotic White

  • Kawasaki Eliminator 500 (2024) SE: Rp 165.9 juta (RM 50,924)

  • Pilihan warna: Metallic Matte Carbon Gray, Flat Ebony

Sebagai model SE, antara 'keistimewaan' adalah seperti penambahan komponen 'Headlamp cover', penutup fork, pelana dengan warna dua tona serta pengecas USB-C.

Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Eliminator 500 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 451 cc, 2 Silinder, Parallel-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 52 PS pada 10,000 rpm dan tork 42.6 Nm pada 7,500 rpm.

Setakat ini, Kawasaki Motor Malaysia belum mempunyai perancangan untuk membawa masuk Kawasaki Eliminator 500 (2024) ke pasaran tempatan namun berkemampuan untuk melakukannya.