KAWASAKI Indonesia Perkenalkan Trio Ninja 40th Anniversary, Unit Terhad, Malaysia?
TERKINI
3/26/20241 min read
KAWASAKI Motor Indonesia (KMI), baru-baru ini memperkenalkan penawaran terbaharunya yang membabitkan trio edisi terhad Kawasaki Ninja ZX-10R, ZX-6R dan ZX-4RR (2024) 40th Anniversary.
Sebagai model edisi istimewa, ketiga-tiga model berkenaan tampil dengan skema warna menarik gabungan Lime Green, Pearl Crystal White dan Blue yang mengimbau penampilan jenama itu di pentas perlumbaan era-90an.
Selain skema warna menarik, turut terpapar logo 40th Anniversary Ninja di bahagian tangki bahan api serta penggunaan rim berwarna hijau serta lengan ayun berwarna 'silver'.
Dan seperti biasa, ia tampil dengan unit terhad selain harga yang boleh dianggap 'menakutkan.'
Untuk Kawasaki Ninja ZX-10R 40th Anniversary, unit yang diperuntukkan adalah sebanyak 5 unit dan masing-masing 10 unit untuk Kawasaki Ninja ZX-6R dan Kawasaki Ninja ZX-4RR.
Perincian mengenai harganya adalah seperti berikut:
Kawasaki Ninja ZX-10R 40th Anniversary: Rp 590,300,000 (RM 176,364)
Kawasaki Ninja ZX-6R 40th Anniversary: Rp 399,900,000 (RM 119,478)
Kawasaki Ninja ZX-4RR 40th Anniversary: Rp 246,300,000 (RM 73,586)
Tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun spesifikasi trenkuasa dijalankan kepada ketiga-tiga versi 40th Anniversary ini berbanding model sedia ada.
Justeru, kesemua jentera yang dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris ini menghamburkan kuasa seperti berikut:
213 PS @ 13,200 rpm (Ram Air - Kawasaki Ninja ZX-10R)
129 PS @ 13,000 rpm (Ram Air - Ninja ZX-6R)
77 PS @ 14,500 rpm (Ram Air - Ninja ZX-4RR)
Setakat ini, tidak 'kedengaran' Kawasaki Malaysia berhasrat untuk membawa mana-mana model Ninja 40th Anniversary ke pasaran tempatan sekalipun Kawasaki Ninja ZX-10R berada dalam katalog syarikat itu.