KAWASAKI Malaysia Perkenalkan Versys 1000 SE, Ninja 1000SX (2024), Harga Asas Kekal RM 81.9k, RM 71.4k

TERKINI

10/30/20231 min read

KIRA-kira setahun selepas pengenalannya di pasaran tempatan, Kawasaki Malaysia hari ini mengemaskini penawaran dua model aras tingginya, Kawasaki Versys 1000 SE dan Kawasaki Ninja 1000SX (2024).

Tetapi, kemas kini yang dijalankan hanya membabitkan penawaran warna dan corak grafik baharu yang dikatakan lebih menarik.

Untuk Kawasaki Versys 1000 SE (2024), pilihan warna baharu yang diumumkan adalah Phantom Silver/Metallic Diablo Black.

Harga yang disyorkan adalah RM 81,900 (asas).

Manakala untuk model Kawasaki Ninja 1000SX (2024), penawaran warna baharu yang ditawarkan adalah Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey.

Harga yang disyorkan adalah RM 71,400 (asas).

Apa yang menarik, harga yang diumumkan untuk kedua-dua model ini tidak mengalami perubahan seperti ketika ia ditawarkan pada Oktober tahun lalu di Grand Prix Malaysia 2023.

Mengulas ringkas spesifikasi Kawasaki Versys 1000 SE (2024), ia dipadankan dengan enjin bersesaran 1,043 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 118 Hp pada 9,000 rpm tork 102 Nm pada 7,500 rpm.

Sebagai motosikal aras tinggi, ia dipadankan dengan pelbagai teknologi canggih antaranya KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System), Mod Tunggangan (4), KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System), Kawalan Jelajah, Kawalan Traksi dan banyak lagi.

Kawasaki Ninja 1000SX (2024), ia turut dipadankan dengan enjin bersesaran 1,043 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Begitupun, ia diberi talaan berbeza dan menghamburkan kuasa setinggi 200 Hp pada 13,000 rpm dan tork 113.5 Nm pada 7,300 rpm.

Selain itu, ia turut dipadankan dengan pelbagai ciri elektronik menarik termasuk Kawalan Traksi (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Power Mode, Kawasaki Corner Management Function (KCMF), Kawalan Jelajah Elekronik dan pelbagai lagi.

Kepada yang berminat, anda boleh melayari laman web Kawasaki Malaysia di http://www.kawasaki.com.my/home atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.