KAWASAKI Malaysia Tayang Ninja ZX6R (2024) Di GP Malaysia 2023, Tanda Pelancaran Dah Dekat?

TERKINI

11/11/20231 min read

KAWASAKI Malaysia sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2023 mempertontonkan generasi terbaharu jentera 'Sportbike' Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) yang diuar-uarkan menjengah pasaran Malaysia, tahun depan.

Membuat kemunculan global sekitar Jun tahun lalu, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) adalah model berprestasi tinggi jenama Jepun itu yang tampil dengan pelbagai pembaharuan terutama di bahagian rekaan yang tampak lebih 'segar' serta makin canggih.

Tiba dengan skema warna 'asal' Kawasaki, 'Lime Green' yang juga warna tema pasukan Kawasaki Racing Team (KRT), Kawasaki ZX-6R (2024) pantas menjadi tarikan di reruai berkenaan selain Modenas Ninja ZX-25R.

Tampil dengan rekaan panel badan serba baharu, ia dikatakan turut meningkatkan ciri aerodinamik motosikal ini selain tampak lebih 'kacak'.

Mengulas trenkuasa, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang sudah patuh Euro5.

Ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper dengan kuasa yang dihamburkan adalah 124 PS pada 13,500 rpm (Tanpa Ram Air) dan 129 PS (Ram Air Diaktifkan) dan tork 69 Nm pada 11,000 rpm.

Di bahagian teknologi, antara yang dikemaskini adalah Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kini memiliki 4 mod tunggangan. Ciri-ciri bantuan tunggangan elektronik canggih termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Rem ABS KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) dan penyerap hentak tunggal juga daripada jenama Showa dengan ciri pelarasan (belakang).

Ciri-ciri lain yang berubah termasuklah penggunaan lampu depan projektor LED, panel meter TFT berwarna 4.3 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Di Indonesia, Kawasaki ZX-6R (2024) diberikan tanda harga Rp. 359,900,000 (RM 108,290) OTR (Atas jalan) Jakarta.

Jadi adakah angka hampir sama atau lebih tinggi diperkenalkan di pasaran Malaysia atau ia turut datang dengan lencana Modenas, sama-sama kita nantikan.