KAWASAKI Motor Thailand Umum Kehadiran Ninja E-1, RM 35.4k, Unit Terhad!

TERKINI

6/12/20241 min read

KAWASAKI Motor Thailand, baru-baru ini mengumumkan kehadiran motosikal elektrik di negara berkenaan - Kawasaki Ninja e-1 yang tiba pada harga 276,000 THB (RM 35,440).

Kehadiran Kawasaki Ninja e-1 menyaksikan Thailand menjadi negara kedua selepas Indonesia menerima motosikal berkenaan di rantau ini.

Selain itu, Kawasaki Ninja e-1 sudah ditayangkan di Filipina namun belum diberikan harga rasmi.

Dan untuk pasaran Thailand juga, unit yang ditawarkan adalah terhad.

Mengulas ringkas daripada sudut rekaan, Kawasaki Ninja e-1 seperti namanya yang memiliki perkataan 'Ninja' adalah motosikal dalam segmen 'Sportbike'.

Malah jika melihat sekali imbas, ia memang cukup mirip model Sportbike 250 cc jenama Jepun itu.

Sebagai motosikal elektrik, ia dipadankan dengan motor elektrik yang mampu menawarkan kuasa setinggi 6.8 Hp dengan tork sebesar 40.5 Nm.

Begitupun, angka kuasa itu boleh melonjak kepada 12 Hp menerusi penggunaan teknologi e-boost.

Dua mod tunggangan tersedia iaitu Road dan Eco dengan kelajuan mod Road adalah sekitar 88 km/j dan 99 km/j (e-boost) manakala mod Eco pula memiliki kelajuan tertinggi sekitar 64 km/j dan 75 km/j (e-boost).

Menjana motosikal ini adalah pek bateri berkembar litium-ion berkapasiti 30Ah yang boleh ditanggal dengan pengecasan mengambil masa sekitar 3.7 jam untuk 0-100 peratus.

Untuk pengecasan, ada dua cara boleh digunakan iaitu menanggalkan bateri atau mengecas terus pada motosikal. Dan setiap pengecasan penuh, menurut Kawasaki boleh membawa motosikal itu sejauh 72 km.

Apa yang menarik, Kawasaki Ninja e-1 turut memiliki mod 'Walk' sebagai kemudahan kepada penunggang terutama ketika melakukan aktiviti memarkir. Untuk perjalanan ke depan, kelajuan yang ditetapkan adalah 5 km/j manakala untuk mengundur, kelajuan adalah 3 km/j.

Di bahagian ssuspensi, sistem yang digunakan adalah fork teleskopik (konvensional) 41 mm dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (prabeban) di bahagian belakang.

Sistem henti pula dijana brek cakera tunggal bersaiz 290 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm (belakang).

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti penggunaan panel meter 4.3 inci TFT berwarna digital penuh.

Sebagai info, untuk pasaran Malaysia, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak Modenas selaku pengedar rasmi Kawasaki dikatakan belum merancang untuk membawa masuk penawaran elektrik ke pasaran tempatan.