KAWASAKI Ninja 1100 SX SE Dalam Perjalanan, Dokumen Kelulusan Terdedah

TERKINI

9/18/20241 min read

KAWASAKI seperti diketahui sedang membangunkan enjin terbaharu untuk dipadankan dengan model aras tinggi jenama Jepun itu.

Sekalipun Kawasaki masih 'mengunci' mulut, perkembangan itu bukan lagi rahsia selepas laporan mengenai dokumen kelulusannya terhadap beberapa model antara Versys sudah pun tertiris.

Dan selepas Versys, satu lagi model yang dikatakan akan dipadankan dengan trenkuasa baharu itu turut terdedah membabitkan model 'Sport tourer' jenama Jepun itu bagi menggantikan Kawasaki Ninja 1000 SX.

Menurut laporan media antarabangsa, dokumen kelulusan itu diperoleh dari Austria.

Berdasarkan dokumen kelulusan yang terdedah itu, kelihatan nama Ninja 1100 SX SE dengan perubahan utama terarah kepada kapasiti sesaran enjin yang digunakan.

Apa yang lebih menarik, Kawasaki Ninja 1100 SX itu dikatakan akan sedia dilancarkan pada tahun depan dan akan diumumkan secara rasmi pada musim sejuk ini berkemungkinan besar ketika EICMA.

Selain dokumen kelulusan, media automotif Jerman, Motorrad dilaporkan turut memperoleh imej intip motosikal berkenaan tetapi apa yang kurang mengujakan, ia nampak cukup mirip dengan model sedia ada.

Begitupun menurut Motorrad, kuasa yang dihamburkan motosikal itu akan meningkat kepada 150 Hp berbanding 142 Hp pada model Ninja 1000 SX.

Dan untuk model SE, ia dijangka akan dipadankan dengan komponen premium antaranya sistem suspensi separa-aktif KECS (Kawasaki Electronic Controlled Suspension) dengan kerjasama Showa.