KAWASAKI Ninja 500, Z500 (2024) Diperkenalkan, Lagi Calon Berpotensi Guna Lencana Modenas Muncul!
TERKINI
11/30/20231 min read
KAWASAKI memperkenalkan penawaran baharunya di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023, baru-baru ini iaitu Kawasaki Ninja 500 dan Kawasaki Z500 (2024) dan seperti namanya, dipadankan dengan enjin serba baharu pengeluar dari Jepun itu.
Dan seperti dijangka, kehadiran kedua-dua model 'bersaudara' itu akan menggantikan Kawasaki Ninja 400 dan Z400 di pasaran ketika ini (Tiada di Malaysia).
Sekalipun tiba sebagai model baharu, Kawasaki Ninja 500 dan Kawasaki Z500 (2024) masih menggunakan platform yang sama seperti Ninja 400 dan Z400 terutama kerangka 'Trellis' dan berada dalam segmen yang serupa.
Tetapi selain enjin yang lebih berkuasa, ia turut mendapat pembaharuan dari sudut reka bentuk yang lebih menarik - terutama Ninja 500 yang mirip model berkuasa Kawasaki Ninja ZX-6R baharu.
Di bahagian trenkuasa, kedua-dua model dipadankan dengan enjin serba baharu 451 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Turut memiliki sistem klac 'Assist & Slipper', angka kuasa yang diumumkan adalah 45.4 PS dan tork 42.6 Nm.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan (preload).
Tetapi, sedikit mengecewakan, sistem brek depan tampak kurang 'kacak' menggunakan cakera tunggal (310 mm) berbanding beberapa pesaingnya termasuk Honda CBR500R yang sudah pun menggunakan cakera kembar.
Seperti biasa, kedua-dua model akan hadir dalam dua varian iaitu Standard dan SE bersama beberapa pilihan warna berbeza.
Dan seperti model moden Kawasaki yang lain, ia turut menggunakan panel meter digital TFT yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar (varian SE) dan mempunyai ciri 'Ergo-fit'.
Ciri-ciri menarik lain termasuklah port pengecas USB-C dan sistem tanpa kunci untuk varian SE.
Dan tiba dengan sesaran enjin bawah 500 cc, boleh dijangkakan Kawasaki Ninja 500 atau Z500 akan tiba dengan lencana berbeza jika ia memasuki pasaran Malaysia dan apa yang menarik, bersama harga lebih 'marhaen'.