KAWASAKI Ninja 7 HEV (2024), 'Sportbike' Hybrid Sulung Kawasaki Lancar Di Eropah

TERKINI

10/18/20231 min read

KAWASAKI tak mengambil masa lama untuk melancarkan motosikal dengan trenkuasa 'hybrid' pertamanya, Kawasaki Ninja 7 HEV (Hybrid Electric Vehicle) 2024 baru-baru ini di pasaran Eropah.

Pelancaran Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) ini mengikuti pelancaran dua model elektrik terbaharu jenama Jepun itu, Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 yang sekali gus menjadi mukadimah Kawasaki kepada motosikal dikuasakan tenaga 'hijau'.

Sebagai info, Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) baru saja dipertontonkan sebagai model prototaip oleh Kawasaki ketika Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2022 pada November tahun lalu.

Dimulakan dari sudut rekaan, Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) sememangnya mengikuti 'lenggok' tipikal Ninja terutama model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-6R namun 'dimodenkan'.

Di bahagian kuasa, sebagai model Hybrid, Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) dijana gabungan enjin pembakaran dalaman (ICE) bersesaran 451 cc, Parallel-Twin dan motor elektrik berkuasa 9kW yang dipacu pek bateri 48-volt.

Gabungan kuasa 'traditional' dan kuasa elektrik itu menghasilkan kuasa setinggi 58.3 Hp. Jika ia tidak begitu tinggi, angka kuasa itu boleh melonjak kepada 68.5 Hp menerusi teknologi e-Boost.

Dengan kuasa yang dihamburkan, Kawasaki mendakwa Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) menewarkan prestasi mirip jentera 650 cc ke 700 cc sekaligus menjawab persoalan mengapa ia dikenali Ninja 7.

Dari sudut transmisi, motosikal ini menggunakan transmisi 6 kelajuan namun menariknya tiada klac. Begitupun, penukaran gear dioperasikan menerusi butang di bahagian kiri bar hendal.

Sebagai motosikal berteknologi moden, Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) dipadankan dengan pelbagai ciri canggih seperti 'Idle Stop Function', 'Automatic Launch Position Finder', teknologi yang membantu ketika motosikal berada dalam keadaan pegun, 'low-speed Reverse & Forward'.

Selain itu, ia turut menggunakan panel meter TFT berwarna penuh yang turut dipadankan dengan Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1. Tiga mod tunggangan turut tersedia iaitu: EV, Eco Hybrid dan Sport Hybrid dengan ketiga-tiganya memiliki pemetaan tersendiri.

Setakat ini, beberapa perincian lagi termasuk mengenai harga Kawasaki Ninja 7 HEV (2024) ini masih belum didedahkan namun ia dijangka tiba di bilik pameran Kawasaki UK bermula pada April 2024.