KAWASAKI Ninja ZX-25R SE (2024) Dapat Warna Baharu Di Jepun, Menarik Kalau 'Dapat' Di Malaysia?

TULAR

8/12/20231 min read

PASARAN Malaysia dijadual memperoleh Ninja ZX-25R dengan lencana Modenas seawal hujung bulan ini tetapi jauh di negara Matahari Terbit, motosikal 'viral' itu tampil dengan kemas kini terbaharu (2024).

Tetapi, kemas kini yang dibuat bukan bersifat 'major', namun hanya kosmetik iaitu membabitkan kejuruteraan 'Coverset', ayat yang sering menjadi bahan jenaka peminat motosikal di Malaysia.

Sebagai info, Kawasaki Ninja ZX-25R memperoleh kemas kini yang signifikan pada tahun lalu iaitu membabitkan sistem suspensi, panel meter, brek dan sistem lampu.

Dikenali sebagai Kawasaki Ninja ZX-25R SE (2024), pilihan warna baharu yang diperkenalkan kepada motosikal berkenaan di Jepun adalah Metallic Phantom Silver x Ebony.

Dan harga jualan yang disyorkan adalah ¥ ‎962,500 (RM 30,471) dan menurut laporan media di negara berkenaan, Kawasaki Ninja ZX-25R SE (2024 dijadualkan untuk dilancarkan di Jepun pada 15 September 2023.

Tiada perubahan membabitkan trenkuasa. Justeru, Kawasaki Ninja ZX-25R SE (2024) kekal dengan enjin bersesaran 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 46.9 Hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm.

Ciri-ciri menarik:

  • Suspensi: Fork USD Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dan penyerap hentak tunggal (Belakang).

  • Brek cakera tunggal (depan/belakang) lengkap ABS

  • Ada klac 'Assist & Slipper' dan 'Quick Shifter' (Up,Down)

  • Kawalan Traksi

  • Mod Tunggangan

  • Panel meter TFT berwarna 4.3 inci (Sambungan ke telefon pintar)

Seperti biasa, selepas Jepun, pilihan warna berkenaan turut dijangka akan 'tiba' di pasaran popularnya seperti Asia Tenggara.

Sebagai info, Ninja ZX-25R dijadual dilancarkan seawal hujung bulan ini atau awal bulan depan (September) dalam dua varian bersama harga jualan dijangka sekitar RM 35k ke RM 40k.