KAWASAKI Ninja ZX-6R Bakal Pasang Di Gurun, Tapi Guna Lencana Modenas Untuk Pasaran Tempatan, Eksport!

TULAR

11/16/20231 min read

KAWASAKI Malaysia menayangkan model 'Sportbike' terbaharunya, Kawasaki Ninja ZX6R (2023) sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2023 minggu lalu dan perkembangan menarik yang diperoleh, motosikal berkenaan akan dipadankan dengan lencana Modenas.

Apa yang lebih mengujakan, menurut sumber yang diperoleh, penggunaan lencana Modenas bukan saja untuk pasaran tempatan, namun untuk pasaran eksport ke luar negara.

Dan berikutan ia akan turut menjadi produk eksport, pengeluarannya akan dilakukan di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.

Seperti pernah dilaporkan oleh MotoDotMy sebelum ini, pihak Kawasaki Malaysia sedang mempersiapkan beberapa lagi barisan pengeluaran di Gurun untuk menampung pengeluaran.

Begitupun sedikit mengecewakan, pengeluaran awal yang dijadualkan untuk motosikal 'Supersport' berkuasa itu pada tahun depan dikatakan bukan disasarkan untuk pasaran tempatan, namun eksport.

Untuk pasaran tempatan, motosikal yang akan berstatus CKD (Pemasangan tempatan) itu dikatakan akan mula dipasarkan pada tahun 2025.

Tidak diketahui mengapa pendekatan berkenaan diambil kerana kami tidak mendapat jawapan mengenainya tetapi ia dijangka berkaitan dengan kerjasama yang dilakukan bersama Kawasaki.

Sebagai info, Kawasaki Ninja ZX6R (2024) yang bersaing dengan model-model 'Supersports' berprestasi lain seperti Yamaha R6 dan Honda CBR600RR baru saja diperkenalkan di pasaran global pada tahun ini.

Mengulas ringkas trenkuasa, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang sudah patuh Euro5.

Ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper dengan kuasa yang dihamburkan adalah 124 PS pada 13,500 rpm (Tanpa Ram Air) dan 129 PS (Ram Air Diaktifkan) dan tork 69 Nm pada 11,000 rpm.

Di bahagian teknologi, antara yang dikemaskini adalah Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kini memiliki 4 mod tunggangan. Ciri-ciri bantuan tunggangan elektronik canggih termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Rem ABS KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).