KAWASAKI Ninja ZX-6R Di Malaysia Tak Terkesan Notis Panggilan Semula!

Perkembangan melegakan kepada pemilik Kawasaki Ninja ZX-6R di pasaran Malaysia mengikuti notis panggilkan semula oleh Kawasaki UK untuk model 'SuperSport' popular itu

TERKINI

7/17/20251 min read

Kawasaki Ninja ZX-6R
Kawasaki Ninja ZX-6R

KAWASAKI UK, baru-baru mengeluarkan notis panggilkan semula untuk model 'SuperSport' popularnya, Kawasaki Ninja ZX-6R bagi model tahun pengeluar 2024 dan 2025 berikutan isu teknikal dan situasi itu mencetus persoalan sama ada unit yang dijual di Malaysia turut terkesan.

Seperti diketahui, model Kawasaki Ninja ZX-6R di Malaysia adalah model pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti pemasangan Modenas di Gurun, Kedah. Dan unit berkenaan turut diimport ke pasaran China.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak EMOS selaku pengedar eksklusif Kawasaki di Malaysia, unit di Malaysia tidak terkesan dengan isu berkenaan.

Malah difahamkan, ujian sudah pun dilakukan daripada pihak Kawasaki Jepun dan hasilnya tiada masalah yang berlaku.

Menurut laporan berita automotif Eropah, notis berkenaan dikeluarkan berikutan masalah membabitkan bolt crankshaft yang diketatkan melebihi spesifikasi semasa proses pengeluaran.

Dan ia dikatakan bukan berlaku untuk model di pasaran UK sahaja, malah turut membabitkan unit di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan notis yang dikeluarkan itu, ikatan bolt yang terlalu ketat ini berpotensi merosakkan bearing utama crankshaft iaitu komponen penting yang menyokong prestasi enjin.

Ini kerana jika berlakunya kerosakan akibat ruang pelinciran yang tidak mencukupi, ia boleh menyebabkan enjin gagal berfungsi sepenuhnya.

Sebagai rekod, untuk pasaran AS sahaja, lebih 7,800 unit model 2024 dan hampir 9,983 unit model 2025 dilaporkan terjejas.

Begitupun, status penarikan itu bukan dalam kategori 'no ride', bermakna pemilik masih boleh menunggang motosikal mereka dengan proses pembaikan dikatakan mudah iaitu hanya memerlukan bolt pengikat luar pada perumah 'crank' untuk diketatkan semula.

Dan menurut laporan itu, pihak pengedar sudah pun dimaklumkan mengenai isu berkenaan dan pemilik juga sudah pun dihubungi untuk proses pembaikan.