KAWASAKI Ninja ZX-6R 'Pasang Di Gurun' Rasmi Eksport Ke China, 280 Unit Dah Dihantar!
TERKINI
5/28/20241 min read
KAWASAKI Ninja ZX-6R, model motosikal 'Supersport' berprestasi yang dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah secara rasmi menjadi produk eksport Kawasaki Malaysia ke pasaran China.
Majlis perasmian dan gimik pelepasan kontena model berkenaan dilakukan, semalam membabitkan sejumlah 112 unit yang diletakkan di empat kontena.
Begitupun, ia bukanlah penghantaran pertama Kawasaki Ninja ZX-6R 'Pasang Di Gurun' ke China namun penghantaran ke-3 dengan keseluruhan 280 unit sudah dihantar.
Tetapi yang menariknya, ini adalah kali pertama Modenas/Kawasaki Malaysia mengeksport motosikal yang dipasang di Malaysia ke China yang terkenal memiliki kawalan kualiti yang tinggi terhadap barangan eksport.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, pihaknya melaburkan antara RM 5 sehingga RM 8 juta untuk projek Ninja ZX-6R yang membabitkan kos kemudahan pemasangan serta latihan kepada pekerja.
Kepada yang tak tahu, Modenas diberikan kelulusan oleh Kawasaki Motors Ltd (KMC) untuk menjalankan aktiviti pemasangan motosikal jenama Jepun itu menerusi kerjasama kedua-dua pihak pada penghujung 2022.
Bermula dengan model 250 cc ke 650 cc, kemampuan kilang pemasangan di Gurun kemudian dipertingkatkan kepada model bersesaran 900 cc iaitu Z900.
Dan kemudahan serta kualiti pemasangan Modenas kemudian mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa China membabitkan kualiti - China Quality Certification Centre - untuk membenarkan produk Kawasaki yang dipasang di Gurun dieksport ke negara itu dimulakan dengan Kawasaki Ninja ZX-6R.
Ia juga sekaligus membuktikan kemampuan tenaga tempatan tidak kalah daripada negara lain terutama dari sudut kualiti kerja.
Setakat ini, kapasiti pengeluaran tahunan barisan pemasangan di Gurun untuk Kawasaki Ninja ZX-6R adalah sejumlah 2,000 unit (jika membabitkan kerja lebih masa).
Dan untuk pasaran eksport ke China, Kawasaki Malaysia merancang untuk menghantar lebih 1,000 unit Kawasaki Ninja ZX-6R tahun ini ke negara itu.
Ketika ini, kilang pemasangan Modenas di Gurun sudah memasang sembilan model Kawasaki/Modenas iaitu Ninja 250, Z 250, Versys-X 250, Vulcan-S 650, Z-900, ZX-25R, Ninja 650 / Ninja Z 650, Versys 650 dan terbaharu ZX-6R.
Begitupun sebagai info, Kawasaki Ninja ZX-6R bukan motosikal pertama yang dipasang di Gurun yang menjadi model eksport oleh Modenas.
Berdasarkan data, Modenas sudah pun mengeksport sejumlah 91,057 unit motosikal ke lebih daripada 40 negara termasuk di Amerika Selatan sejak beberapa tahun lalu.