KAWASAKI Ninja ZX6R (2024) Sah Masuk Malaysia Awal 2025, Harga Bawah RM 70k?

TERKINI

5/29/20242 min read

KAWASAKI Malaysia mengesahkan motosikal 'Supersport' berprestasi Kawasaki Ninja ZX-6R akan dilancarkan pada awal tahun depan bersama informasi terbaharu, harga di bawah RM 70k.

Begitupun jangan terlalu teruja, harga berkenaan masih belum rasmi dan perlu berpandukan kepada keadaan semasa ekonomi negara sekalipun ia terkeluar daripada bos besar Kawasaki Malaysia sendiri.

Kepada yang tak tahu, Kawasaki memperkenalkan model 'Supersport' serba baharu Kawasaki Ninja ZX-6R di peringkat global pada pertengahan tahun lalu dan menariknya, ia sudah ditayangkan beberapa kali di Malaysia.

Selepas ditayangkan secara model CBU (Import penuh) pada Grand Prix MotoGP Malaysia 2023, ia sekali lagi membuat penampilan di reruai Kawasaki Malaysia ketika Malaysia Autoshow 2024, minggu lalu.

Seperti dijangka, model yang boleh dibawa 'melenjan' trek lumba itu menjadi tumpuan dan menariknya, model yang ditayangkan adalah model CKD (Pemasangan tempatan) di kilang Modenas di Gurun, Kedah.

Dan sebagai permulaan, unit dari Gurun dikeluarkan sebagai model eksport di pasaran China sebelum memasuki pasaran Malaysia pada tahun depan.

Menarik lagi, spesifikasi Kawasaki Ninja ZX-6R yang diposisi sebagai model berprestasi adalah sama dan tertinggi seperti model import ke China.

Mengulas mengenai Kawasaki Ninja ZX-6R (2024), sebagai model serba baharu, ia tampil dengan pelbagai pembaharuan terutama di bahagian rekaan yang tampak lebih 'segar', makin canggih, lebih aerodinamik dan mungkin penting, nampak lebih 'kacak'.

Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang sudah patuh Euro5.

Ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper dengan kuasa yang dihamburkan adalah 124 PS pada 13,500 rpm (Tanpa Ram Air) dan 129 PS (Ram Air Diaktifkan) dan tork 69 Nm pada 11,000 rpm.

Di bahagian teknologi, antara yang dikemaskini adalah Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kini memiliki 4 mod tunggangan. Ciri-ciri bantuan tunggangan elektronik canggih termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), KQS (Kawasaki Quick Shifter) dan Rem ABS KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) dan penyerap hentak tunggal juga daripada jenama Showa dengan ciri pelarasan (belakang).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan lampu depan projektor LED, panel meter TFT berwarna 4.3 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.