KAWASAKI Puncak Alam Dirasmikan, Pusat 4S Kawasaki Ketujuh Di Malaysia!
PELANCARAN
2/22/20251 min read


MODENAS terus memperluas rangkaian pengedar Kawasaki di Malaysia menerusi pelancaran Pusat 4S ketujuh jenama itu di negara ini, Kawasaki Puncak Alam.
Dioperasikan oleh Puncak Alam Motoworld Sdn Bhd yang memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang berkenaan, Kawasaki Puncak Alam adalah Pusat 4S kedua di Selangor selepas Kawasaki Shah Alam.
Dengan status Pusat 4S, Kawasaki Puncak Alam menawarkan perkhidmatan yang lengkap bukan sekadar pusat pameran, namun pusat jualan, servis dan jualan alat ganti.
Menurut Modenas, pelancaran Kawasaki Puncak Alam adalah bagi memastikan pelanggan dan pemilik jenama itu mendapat perkhidmatan jualan dan selepas jualan di tahap tertinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan yang turut hadir ke majlis berkenaan sekali lagi menekankan komitmen syarikat dalam usaha meningkatkan akses pelanggan kepada produk dan perkhidmatan Kawasaki.
"Perkembangan berterusan rangkaian pengedar Kawasaki adalah simbol komitmen kami untuk menyediakan akses yang lebih luas dan perkhidmatan pelanggan yang unggul di seluruh Malaysia," kata Roslan.
"Menerusi program pengedaran strategik, kami berdedikasi untuk menghasilkan motosikal bertaraf premium dan sokongan selepas jualan yang cemerlang dan memastikan setiap penunggang Kawasaki menikmati pengalaman pemilikan yang lancar."
Modenas dalam pada itu merancang untuk membuka 13 Pusat 4S Kawasaki di seluruh negara dengan dua pengedar berstatus 4S dirancang untuk dirasmikan pada tahun 2025.
Dan menurut Roslan, ia bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti dan memberikan lebih banyak pelanggan jenama itu di seluruh negara peluang untuk menikmati perkhidmatan luar biasa Kawasaki.
"Perkembangan ini selari dengan strategi jangka panjang kami untuk mengukuhkan kehadiran Kawasaki di Malaysia, menghasilkan motosikal berkualiti tinggi dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan pakar lebih mudah diakses di seluruh negara."








