Kawasaki Serdang Dirasmikan, Pusat Pameran 4S Kawasaki Terbesar di Malaysia!

Kawasaki Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap permotoran negara dengan pelancaran rasmi pusat 4S terbesar jenama itu di negara ini menerusi pembukaan Kawasaki Serdang

PELANCARAN

6/28/20251 min read

KAWASAKI Malaysia, hari ini melakar sejarah baharu dalam industri permotoran tempatan apabila merasmikan pusat pameran lengkap terbesar jenama itu di negara ini menerusi pembukaan rasmi Kawasaki Serdang.

Terletak di lokasi strategik di Serdang, Selangor, pusat ini merupakan Kawasaki All Star ke-7 di Malaysia dan dikendalikan oleh 'pemain' disegani dalam sektor jualan serta perkhidmatan motosikal tempatan - Serdang Motorcycle Sdn. Bhd.

Dengan keluasan lebih daripada 20,000 kaki persegi, Kawasaki Serdang berfungsi sebagai pusat 4S (Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sokongan) yang komprehensif.

Ia merangkumi:

  • Ruang pameran luas yang memaparkan pelbagai model terkini Kawasaki

  • Lima ruang servis khas yang dikendalikan oleh juruteknik bertauliah

  • Ruang menunggu pelanggan bertaraf premium

  • Sudut aksesori dan gaya hidup yang eksklusif

Semua kemudahan ini direka bagi memberikan pengalaman pemilikan yang menyeluruh serta memperkukuh interaksi antara jenama dan komuniti pemilik motosikal Kawasaki di Malaysia.

Selain itu, lokasinya yang strategi menjadikannya mudah diakses dari pelbagai kawasan utama sekitar Lembah Klang seperti Seri Kembangan, Putrajaya, Kajang dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan menjelaskan perasmian pusat 4S Kawasaki Serdang mengukuhkan komitmen syarikat itu bagi menambah baik keseluruhan pengalaman pemilikan motosikal jenama itu di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Serdang Motorcycle, Jason Lee berkata pembukaan Kawasaki Serdang membuktikan komitmennya dalam menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang berkualiti tinggi.

"Kami yakin Kawasaki Serdang bakal menjadi destinasi utama buat para peminat dua roda di Lembah Klang.”