KAWASAKI Tayang 'Liveri' WorldSBK 2024, ZX-10RR Kini Lebih 'Hijau'!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/10/20241 min read
KAWASAKI Racing Team (KRT) WorldSBK yang musim ini kehilangan legendanya, Jonathan Rea menayangkan 'Liveri' baharu pasukan itu bagi musim 2024 dengan penampilan 'lebih hijau' berbanding tahun lalu.
Mempertaruhkan jentera Kawasaki ZX-10RR spesifikasi terkini, pasukan itu akan diwakili dua pelumba, Alex Lowes dan Axel Bassani.
Kawasaki yang kali terakhir merasai nikmat menjuarai gelaran dunia pada 2020 menerusi Rea masih boleh dianggap kompetitif dengan Rea meraih tangga ketiga keseluruhan di belakang Alvaro Bautisa (Ducati) dan Toprak Razgatlıoglu (Yamaha).
Tetapi ia jelas tidak mencukupi buat Rea untuk angkat kaki dan menyertai Yamaha bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Toprak.
Tidak seperti tahun lalu yang menyaksikan jentera KRT WorldSBK turut didominasi warna hitam, 'Liveri' terbaharu ini kembali didominasi warna hijau dan ia digemari pelumbanya.
"Saya benar-benar menggemari skema warna bagi 2024, ia nampak sedikit berbeza," kata Lowes. "Setiap tahun akan ada beberapa perubahan kecil tetapi ini yang paling saya gemari."
Pandangan sama turut disuarakan 'muka baharu' pasukan itu, Bassani dari Itali.
"Saya fikir ia benar-benar corak yang baik dan saya menggemarinya. Sudah tentu ia masih penuh dengan warna hijau dengan tambahan beberapa warna yang lain.
"Amat bagus untuk akhirnya melihat jentera 'Factory' saya dengan warna 'Factory'. Sentiasa bagus untuk memiliki penampilan baharu setiap musim.
"Saya harap peminat akan menyukai penampilan jentera ini dan juga pakaian baharu pasukan. Warna hijau Kawasaki sentiasa istimewa."
Tahun lalu, KRT WorldSBK menamatkan kempen di tangga ketiga keseluruhan dengan mengutip 518 mata namun hanya berjaya meraih satu kemenangan menerusi Rea di Rep Czech.
Perlumbaan WorldSBK 2024 dijadual membuka tirainya di Australia (Phillip Island) pada 23 hingga 25 Februari ini.