KAWASAKI Umum Notis Panggilan Semula Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 & 2025, Tapi...
Kawasaki keluarkan notis panggilkan semula untuk model 'SuperSport' popularnya, Kawasaki ZX-6R bagi model tahun pengeluar 2024 dan 2025 berikutan isu teknikal yang memerlukan proses pembaikan
TERKINI
7/16/20251 min read


SYARIKAT pengeluar motosikal Jepun, Kawasaki mengeluarkan notis panggilkan semula untuk model 'SuperSport' popularnya, Kawasaki ZX-6R bagi model tahun pengeluar 2024 dan 2025 berikutan isu teknikal.
Menurut Kawasaki, isu berkenaan adalah membabitkan bolt crankshaft yang diketatkan melebihi spesifikasi semasa proses pengeluaran.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan, ikatan bolt yang terlalu ketat ini berpotensi merosakkan bearing utama crankshaft iaitu komponen penting yang menyokong prestasi enjin.
Ini kerana jika berlakunya kerosakan akibat ruang pelinciran yang tidak mencukupi, ia boleh menyebabkan enjin gagal berfungsi sepenuhnya.
Menurut laporan berita automotif Eropah, masalah itu dikatakan bukan berlaku untuk model di pasaran UK sahaja, malah turut membabitkan unit di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Di AS sahaja, lebih 7,800 unit model 2024 dan hampir 9,983 unit model 2025 dilaporkan terjejas.
Begitupun, status penarikan itu bukan dalam kategori 'no ride', bermakna pemilik masih boleh menunggang motosikal mereka dengan proses pembaikan dikatakan mudah iaitu hanya memerlukan bolt pengikat luar pada perumah 'crank' untuk diketatkan semula.
Dan menurut laporan itu, pihak pengedar sudah pun dimaklumkan mengenai isu berkenaan dan pemilik juga sudah pun dihubungi untuk proses pembaikan.
Di Malaysia, model Kawasaki Ninja ZX-6R adalah model pemasangan tempatan di fasiliti pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.
Setakat ini, pihak EMOS selaku pengedar eksklusif Kawasaki di Malaysia tidak mengeluarkan sebarang notis.
