KAWASAKI Velocity Camp 2026, Nilai RM 1.5k, Bayar RM 300 Je!
Menurut Kawasaki Malaysia, Kawasaki Velocity Camp 2026 adalah inisiatif serampang dua mata yang direka khusus untuk memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai asas tunggangan litar dalam persekitaran yang terkawal
TERKINI
5/20/20261 min read


KAWASAKI Malaysia terus memperkukuh komuniti penunggang setianya dengan inisiatif terbaru — Velocity Weekend Riding Camp 2026, sebuah program yang bukan sekadar aktiviti menunggang tetapi pengalaman eksklusif buat pengguna jenama itu di pasaran tempatan.
Dianjurkan buat kali pertama di Litar Horizon Beranang, minggu lalu, kem tunggangan sehari penuh ini menghimpunkan pemilik motosikal Kawasaki serta media terpilih untuk merasai sendiri program tunggangan litar berstruktur yang memfokuskan kepada keyakinan penunggang, kesedaran keselamatan dan tunggangan berprestasi secara bertanggungjawab.
Apa yang paling menarik perhatian pastinya yuran penyertaan program ini.
Sebagai tanda komitmen Kawasaki Malaysia menjadikan pembangunan kemahiran penunggang lebih mudah diakses, peserta hanya perlu membayar yuran 'subsidi' sebanyak RM 300 berbanding nilai sebenar kursus profesional ini yang sebenarnya berharga RM 1,500!
Tetapi ia tetap bersyarat dengan peserta perlulah dalam kalangan pemilik Kawasaki/Modenas.
Menurut Kawasaki Malaysia, inisiatif serampang dua mata ini direka khusus untuk memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai asas tunggangan litar dalam persekitaran yang terkawal.
Peserta akan melalui pelbagai aktiviti berpandu termasuklah taklimat keselamatan, postur tunggangan, kawalan penglihatan, kedudukan badan, teknik membrek yang betul, cara mengambil selekoh dan pastinya sesi praktikal di atas litar menggunakan jentera sepenuhnya.
Bagi memastikan kualiti latihan berada pada tahap tertinggi, sesi ini dikendalikan oleh barisan pengajar profesional dari iRide Academy.
Dan pihak penganjur turut menyediakan bantuan kelengkapan menunggang (bergantung kepada saiz) buat peserta.
Tidak hanya sekadar memulas terotel di litar, program turut berpangsung dalam suasana santai sekali gus menjadi platform seronok buat pemilik Kawasaki untuk beramah mesra, bertukar pandangan serta mengeratkan silaturahim sesama rakan penunggang dan komuniti jenama itu.
Selepas kejayaan sesi sulung, 5 lagi sesi dijadual berlangsung di lokasi yang sama pada tarikh berikut:
14 Jun
12 Julai
2 Ogos
6 September
20 Disember
Begitupun, tarikh yang diumumkan tertakluk kepada perubahan oleh Kawasaki Malaysia.







