KAWASAKI Versys 1100 (2025) Kini Di Malaysia, 3 Varian, Harga Mula RM 65.1k!
Kawasaki Versys 1100 (2025), model 'Adventure touring' aras tinggi terbaharu jenama Jepun itu dirasmikan di pasaran Malaysia dan ditawarkan dalam tiga varian, Standard, S dan SE.
PELANCARAN
6/27/20251 min read


KAWASAKI Malaysia, hari ini melancarkan jentera 'Adventure touring' aras tinggi terbaharu jenama itu di pasaran tempatan - Kawasaki Versys 1100 (2025) - yang ditawarkan dalam tiga varian, Standard, S dan SE.
Terkenal sebagai model yang cukup versetail yang menggabungkan keselesaan dan prestasi, perincian membabitkan harga dan pilihan warna adalah seperti berikut:
Kawasaki Versys 1100 (2025) Standard - RM 65,100
Warna: Metallic Graphensteel/Metallic Diablo Black
Kawasaki Versys 1100 (2025) S - RM 76,600
Warna: Pearl Robotic White/Metallic Diablo Black
Kawasaki Versys 1100 (2025) SE - RM 82,900
Warna: Metallic Graphite Gray/Metallic Diablo Black
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran) dan dilancarkan sempena perasmian pusat pameran lengkap Kawasaki Serdang.
Sebelum pergi lebih jauh, tiada perubahan dari sudut penampilan membabitkan Kawasaki Versys 1100 (2025) dan versi 1000 namun seperti namanya mendapat kemas kini dari sudut trenkuasa.
Sebagai model yang menjadi antara pilihan utama kepada peminat penjelajahan dengan pelbagai bentuk permukaan jalan, motosikal ini dijana enjin 1,099 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 133 Hp @ 9,000 rpm dan tork 112 Nm @ 7,600 rpm.
Sebagai perbezaan, versi 1000 menghasilkan kuasa 120 Hp @ 9,000 rpm dan tork 102 Nm @ 7,500 rpm.
Untuk mendapatkan angka berkenaan, beberapa perkara dibuat iaitu menerusi nisbah mampatan baharu: 11.8:1 (dari 10.3:1), ECU dan profil camshaft yang dirombak semula.
Sebagai model aras tinggi, Kawasaki Versys 1100 2025 dilengkapi dengan IMU (Inertial Measurement Unit) yang mengawal pakej elektronik seperti (KCMF, KTRC, KIBS dan KECS-Suspensi Elektronik varian SE) dan Kawalan Jelajah.
Justeru, ia memiliki empat mod tunggangan tersedia dengan pemetaan tersendiri iaitu Sport, Road, Rain, Rider.
Seperti dinyatakan, Kawasaki Versys 1100 (2025) SE, ciri tambahan lain adalah sistem Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS) dengan teknologi Showa Skyhook dan Lampu Selekoh LED.
Selain itu, varian S dan SE turut memiliki sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang turut dinaik taraf bagi penukaran gear lebih lancar selain panel meter jenis digital TFT berwarna + analog.










