KAWASAKI Versys 1100 Curi Tumpuan Di TdF 2026
Hubungan erat antara Kawasaki dan penganjur TDF bukanlah perkara baharu kerana kerjasama kedua-dua pihak sudah terjalin sejak tahun 1976 lagi, sebelum Kawasaki diangkat secara rasmi sebagai Rakan Automotif Rasmi saingan berprestij itu pada tahun 2024
TERKINI
7/2/20261 min read


MOTOSIKAL 'Sport touring' aras tinggi pengeluar Jepun, Kawasaki Versys 1100 mencuri tumpuan apabila turut 'beraksi' pada perlumbaan berbasikal jelajah paling berprestij di dunia, Tour de France (TDF) 2026 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 16 Januari ini.
Kehadiran model terbaharu daripada pengeluar gergasi Jepun itu bukan sekadar hiasan, sebaliknya sejumlah puluhan unit Kawasaki Versys 1100 dikerahkan bagi memikul tugas termasuk mengawal keselamatan pelumba, logistik pengurusan acara serta membawa petugas media.
Sebagai rekod, hubungan erat antara Kawasaki dan penganjur TDF bukanlah perkara baharu kerana kerjasama kedua-dua pihak sudah terjalin sejak tahun 1976 lagi, sebelum Kawasaki diangkat secara rasmi sebagai Rakan Automotif Rasmi saingan berprestij itu pada tahun 2024.
Pemilihan Kawasaki Versys 1100 untuk edisi 2026 tepat memandangkan model ini baru sahaja menerima peningkatan mendadak dari segi prestasi, menjadikannya jentera paling ideal untuk menawan laluan berbukit dan berliku sepanjang perlumbaan jelajah berkenaan.
Seperti diketahui, Kawasaki Versys 1100 yang menggantikan model Versys 1000 kini dipacu enjin empat silinder sebaris yang ditingkatkan sesesarannya kepada 1,099 cc.
Peningkatan ini membolehkan Versys 1100 menghamburkan kuasa maksimum sehingga 135 PS (meningkat daripada 120 PS sebelum ini) pada 9,000 rpm, manakala tork puncaknya pula melonjak kepada 112 Nm pada 7,600 rpm.
Lebih menarik, Kawasaki turut menala semula enjin ini bagi memberikan daya kilas yang lebih kuat pada tahap putaran enjin (rpm) rendah dan sederhana.
Selain itu, ia dilengkapi sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang dinaik taraf untuk penukaran gear lebih lancar seawal 1,500 rpm, serta varian SE yang hadir dengan suspensi elektronik canggih Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS) untuk keselesaan optimum di pelbagai permukaan jalan.
Sebagai info, Kawasaki Versys 1100 tiba di Malaysia pada tahun lalu dan varian tertinggi SE diumumkan pada angka harga RM 82,900 (asas).

