KAWASAKI Versys Hybrid 'Dalam Perjalanan', Imej Paten Dah Terdedah!

TERKINI

12/22/20231 min read

SELEPAS Kawasaki Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid, Kawasaki dijangka memperkenalkan satu lagi model menggunakan trenkuasa sama namun dalam segmen berbeza iaitu 'Adventure touring'.

Apa yang menarik, ia bukan sekadar khabar angin malah imej paten model yang dijangkakan menggunakan nama 'Versys' itu sudah pun terdedah.

Didedahkan oleh media Itali, Motociclismo, apa yang dapat dilihat daripada imej paten berkenaan adalah ia memang mirip model Kawasaki Versys yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Dan apa yang boleh dijangkakan lagi adalah ia akan dipadankan dengan trenkuasa hybrid Kawasaki sedia ada seperti digunakan di Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Justeru, ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 9kW yang digandingkan dengan enjin bersesaran 451 cc Parallel Twin.

Sekalipun tiada maklumat lanjut diperoleh, tetapi apa yang boleh dijangkakan juga adalah ia datang dengan 'talaan' berbeza daripada Ninja 7 Hybrid mahupun Z7 Hybrid.

Sebagai motosikal dalam segmen 'Adventure Touring', Kawasaki Versys Hybrid berkemungkinan mempunyai kemampuan untuk melakukan aktiviti penjelajahan dan lebih menarik, jarak jauh.

Dan bukan sekadar membabitkan jarak tunggangan, ia juga dijangka mempunyai pakej bateri yang berbeza dan berkuasa berbanding bateri berkuasa 1.4kWh seperti yang dibekalkan kepada Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Melihat kepada angka, kuasa yang dihamburkan iaitu 69 Hp dilihat sudah mencukupi dan melebihi angka kuasa Kawasaki Versys 650 iaitu 66 Hp.

Setakat ini, Kawasaki belum menyatakan komitmen untuk menggantikan model-model ICE jenama itu kepada Hybrid tetapi kehadiran Versys Hybrid mungkin memberi petanda baharu mengenai hala tuju syarikat itu.