KAWASAKI Z650RS (2025) Debut Pasaran Malaysia, Asas RM 37.2k!
PELANCARAN
2/22/20251 min read


SALAH satu model yang kehadirannya antara ditunggu-tunggu di pasaran tempatan, Kawasaki Z650RS (2025) secara rasmi membuat debutnya hari ini dan diumumkan pada harga jualan menarik, RM 37,200.
Seperti biasa, harga yang diumumkan untuk model dalam segmen 'Naked' retro klasik itu adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Apa yang lebih mengujakan, sekalipun Kawasaki Z650RS adalah model CKD (Pemasangan tempatan) dan dipasang sepenuhnya di kompleks pemasangan Modenas di Gurun, Kedah, ia tetap menggunakan lencana Kawasaki.
Hanya satu pilihan warna yang diperkenalkan iaitu Ebony/Wheel Gold dan menariknya, tampil dengan logo 'KAWASAKI' dengan 'font' klasik di bahagian tanki bahan api.
Sebagai info, Kawasaki Z650RS membuat debut global pada tahun 2021 dan ia kemudian mendapat kemas kini termasuk penambahan sistem KTRC (Kawasaki Traction Control) yang memiliki tiga tetapan termasuk 'off'.
Tampil dengan rekaan retro yang cukup 'sedap' mata memandang, Kawasaki Z650RS boleh dikatakan 'adik' kepada satu lagi model retro jenama itu, Kawasaki Z900RS.
Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Z650RS dipadankan dengan enjin bersesaran 649 cc, Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper.
Kuasa yang dihamburkan adalah 67 Hp pada 8,000 rpm dan tork 63.7 Nm pada 6,700 rpm.
Di bahagian suspensi, ia menggunakan fork teleskopik konvensional 41 mm (depan) dan menyerap hentak tunggal belakang dengan ciri pelarasan preload.
Tugasan membrek ditugaskan kepada cakera berkembar bersaiz 300 mm (depan) dan cakera tunggal 220 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Set roda adalah 120/70-17 (depan) dan 150/70-17 (belakang) dengan kapasiti tangki bahan api 12 liter.
Untuk menyerlahkan lagi gaya retro, panel meter yang digunakan adalah gabungan digital dan analog berbentuk bulat.
Menurut Modenas, Kawasaki Z650RS sudah pun tiba di semua cawangan Kawasaki All-Star seluruh negara bermula hari ini.


















