KAWASAKI Z650RS 'Dalam Perjalanan', Pelancaran Tahun Depan!

TERKINI

8/22/20241 min read

KAWASAKI membuat debut global model dalam segmen retronya Kawasaki Z650RS pada 2021 dan ia menjadi antara model yang dinanti-nantikan di pasaran Malaysia mengikuti kerjasama strategik Kawasaki-Modenas.

Tampil dengan rekaan retro yang cukup 'sedap' mata memandang seperti 'abangnya' Kawasaki Z900RS, ada perkembangan menarik membabitkan motosikal berkenaan di pasaran tempatan.

Berdasarkan informasi terbaharu yang diperoleh, Kawasaki Malaysia memang sudah memiliki tarikh untuk membawa masuk Kawasaki Z650RS namun bukan tahun ini, tetapi pada tahun hadapan.

Dan menerusi kerjasama dan perjanjian antara Kawasaki dan Modenas, ia dijangka berstatus CKD (Pemasangan tempatan) akan dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.

Seperti tiga lagi model dengan sesaran enjin sama, Kawasaki Z650RS juga dijangka akan menggunakan lencana Modenas yang menyaksikan penawaran harganya berkemungkinan cukup menarik.

Seperti diketahui, kilang Modenas di Gurun, Kedah sudah pun mempunyai fasiliti pemasangan untuk model seperti Modenas Ninja 650, Z650 dan Versys 650.

Mungkin tidak perlu mengulas lanjut di bahagian trenkuasa, Kawasaki Z650RS dipadankan dengan enjin bersesaran 649 cc, Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 67 Hp pada 8,000 rpm dan tork 63.7 Nm pada 6,700 rpm.

Berdasarkan spesifikasi semasa Kawasaki Z650RS, ia turut sudah memiliki ciri Kawalan Traksi (KTRC) dengan 3 tetapan termasuk 'off' dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Untuk mengekalkan gaya retro, panel meter yang digunakan adalah gabungan digital dan analog berbentuk bulat.

Di pasaran negara jiran Thailand yang turut mempunyai fasiliti pemasangan Kawasaki, Kawasaki Z650RS dijual pada harga 309,400 Baht (RM 39,242).