KAWASAKI Z900 (2025) Baharu Rasmi Di Malaysia, Ada 'Cruise Control', QS, Harga Mula RM 47.8k
Selepas debut global tahun lalu, Kawasaki Z900 (2025) yang tampil dengan kemas kini mengujakan akhirnya memasuki pasaran tempatan dan model yang tampil dengan rekaan garang 'Sugomi' itu datang dalam dua varian, Standard dan SE
PELANCARAN
10/18/20252 min read


KAWASAKI Malaysia, hari ini melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen 'Naked bike' berprestasi, Kawasaki Z900 (2025) yang tampil dengan pelbagai pembaharuan mengujakan bukan saja dari sudut rekaan, malah sudut elektronik.
Tiba dalam dua varian, harga jualan untuk versi Standard - Kawasaki Z900 (2025) adalah RM 47,800 manakala varian tertinggi - Kawasaki Z900 SE (2025) datang pada harga jualan RM 60,100.
Seperti biasa, harga jualan yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Untuk Kawasaki Z900 (2025) Standard, ia ditawarkan dalam 2 pilihan warna iaitu:
Metallic Moondust Grey/Metallic Spark Black/Candy Lime Green with Golden Blazed Green frame
Metallic Spark Black/Metallic Carbon Grey/Flat Super Black
Manakala untuk Kawasaki Z900 SE (2025), hanya satu pilihan warna iaitu:
Metallic Matte Graphite Gray/Ebony /Metallic Graphite Gray
Ulas rekaan, Kawasaki Z900 (2025) tampil dengan penampilan baharu termasuk di bahagian panel sisi, tangki bahan api dan lampu depan yang lebih runcing serta garang namun kekal dengan 'DNA' Kawasaki iaitu Sugomi.
Selain rekaan, apa yang menarik pastinya membabitkan elektronik kerana ini kali pertama Kawasaki melengkapkan model Z900 dengan ciri Inertial Measurement Unit (IMU-6 paksi) yang menguruskan sistem eletronik terkini seperti Cornering ABS, Mod Tunggangan, sistem Traction Control dan sistem Quick-Shifter (2 hala).
Dan menariknya, Kawasaki Z900 (2025) sudah memiliki ciri Kawalan Jelajah atau lebih dikenali 'Cruise control'.
Di bahagian trenkuasa, Kawasaki Z900 (2025) kekal dengan enjin bersesaran 948 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Angka kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 123 Hp pada 9,500 rpm dan tork 97.4 Nm pada 7,700 rpm. Angka itu sedikit menurun berikutan ia sudah mematuhi piawaian emisi Euro5.
Ia juga kini dilengkapi dengan panel meter TFT bersaiz 5 inci baharu yang membolehkan dengan sistem sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Rideology yang kini turut memiliki arahan suara dan sistem navigasi.
Untuk varian SE atau Edisi Istimewa, selain pilihan skema warna dan corak grafik khas, ia turut dilengkapi:
Fork USD dengan ciri pelarasan penuh (Batang fork turut berwarna emas)
Penyerap hentak tunggal jenama Ohlins S46
Sistem brek dengan kaliper Monobloc Brembo M4.32
Ciri-ciri dan informasi lain adalah seperti berikut:
Set roda 120/70-17 (depan), 180/55-17 (belakang)
Brek cakera berkembar 300 mm (depan), cakera 264 mm (belakang)
Tinggi pelana 810 mm
Tangki bahan api 17 liter
Berat 193 kg (kering)
Serentak dengan pelancaran, Kawasaki Malaysia mengumumkan Kawasaki Z900 (2025) sudah mula boleh didapati di semua Kawasaki All-Star dan cawangan pengedar eksklusif Kawasaki bermula pada minggu ini.



















