KAWASAKI Z900RS 'Yellow Ball Edition' (2024) Kini Di Malaysia, Harga Asas RM 63.8k!
TERKINI
11/22/20231 min read
KAWASAKI Malaysia mengemaskini penawaran motosikal bergaya retro klasiknya di pasaran tempatan dengan memperkenalkan model edisi istimewa Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024).
Diperkenalkan di pasaran Jepun pada awal tahun ini, Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024) bukan model yang dipasang di Gurun, Kedah namun model import sepenuhnya atau CBU.
Dan harga yang diumumkan oleh Kawasaki Malaysia menerusi pengedarnya, Emos adalah RM 63,800 (asas) tak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran.
Lebih menarik lagi, unit pertama Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024) di Malaysia sudah pun memiliki pemilik iaitu Pengarah Urusan AEON Credit Service (M) Berhad, Daisuke Maeda.
Sedikit info mengenai Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024), selain penggunaan skema warna dan corak grafik yang unik, apa yang menarik adalah logo di bahagian tangki bahan api menggunakan logo Kawasaki Z1 'Original' yang meningkatkan ciri klasik motosikal ini.
Mengulas ringkas trenkuasa Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024), ia digandingkan dengan enjin bersesaran 948 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 111 Hp pada 8,500 rpm dan tork 98.5 Nm pada 6,500 rpm.
Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal dengan ciri boleh laras. Sistem brek menggunakan cakera kembar 300 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal (belakang).
Meningkatkan lagi ciri keselamatan motosikal ini adalah ia turut memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan sistem Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC).
Informasi lain adalah seperti penggunaan panel meter jenis gabungan analog digital LCD, berat 215 kg dan kapasiti tangki bahan api 17 liter.
Kepada yang berminat, Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition (2024) sudah pun 'mendarat' di cawangan Kawasaki All Star seluruh Malaysia dan terbaharu di Kawasaki All Star Setapak oleh Eang Chun Motor.
Untuk maklumat lanjut, boleh juga layari laman web Kawasaki Malaysia di https://www.kawasaki.com.my/kawasaki/shop atau hubungi talian bebas tol 1-800-880-008 atau bertanya kepada WhatsApp Careline di +6019-570 8135.