KBS Bakal Lancar Program Khas Untuk Bakat Permotoran Tempatan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/9/20251 min read

SATU perkembangan menarik buat peminat sukan permotoran tempatan diperoleh apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akhirnya mengumumkan sedang merangka satu program pembangunan khas untuk sukan permotoran.

Bukan sekadar khabar angin, ia diberitahu sendiri Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Nor Azli Mohamad Daud ketika sambutan kepulangan pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, semalam.

Tidak seperti 103 jenis sukan lain yang dinaungi Majlis Sukan Negara (MSN), Azli mengakui yang sukan permotoran mempunyai program pembangunan tersendiri.

Seperti diketahui, Qabil Irfan pada minggu lalu mencipta kejayaan yang boleh dianggap membanggakan apabila menjuarai dua perlumbaan di ESBK Talent di Litar Jerez, Sepanyol.

“Insya-Allah, kita akan lihat perkara ini dengan serius. Kita mahu atlet sukan permotoran juga dapat ruang dan sokongan sama seperti atlet berprestasi tinggi yang lain,” kata Nor Azli.

"Kejayaan Qabil bukan datang dengan mudah. Ia menuntut banyak pengorbanan daripada dirinya dan seluruh ahli keluarga. Beliau wajar dijadikan contoh kepada atlet muda lain serta membuktikan bahawa sukan permotoran mampu mengangkat nama negara.

"Bagi pihak JBSN, pelbagai perancangan sudah dirangka termasuk pelaksanaan beberapa siri perlumbaan MiniGP di seluruh negara, sebagai salah satu inisiatif pembangunan bakat muda.

"Latihan dan pembangunan atlet juga akan dijalankan dengan kerjasama pasukan ZK Racing. Kita mahu memastikan bakat-bakat yang ada tidak terpinggir atau tidak diberi perhatian," katanya.

Selain itu, Nor Azli turut harap kejayaan Qabil akan ubah persepsi ramai yang sukan permotoran bukan hanya untuk golongan berada.

“Kalau betul-betul minat, jumpa kami. Kita di KBS akan bantu sedaya mungkin supaya minat tu tak sia-sia dan boleh bawa ke tahap profesional.”