KBS Umum RM 1.8 Juta Untuk Program Pembangunan SIC, Tapi...

Dan yang diumumkan membabitkan pecahan RM 800,000 melalui Geran Padanan Sukan dan RM 1 juta menerusi Program Pembangunan Bakat SIC dan bukannya khusus kepada Hakim Danish tetapi menyeluruh.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/1/20261 min read

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akhirnya mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.8 juta bagi memperkasa program pembangunan sukan permotoran negara di bawah kelolaan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC).

Perkembangan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ketika menjawab isu berkaitan sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet permotoran negara di Parlimen dan diulang ketika pengumuman lanjutan kontrak MotoGP di Malaysia.

Kata Taufiq, dana berkenaan disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan dan kerjasama strategik bersama SIC demi memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda, khususnya menjamin karier pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terus berada pada tahap terbaik.

Taufiq dalam pada itu turut menepis persepsi di media sosial yang mendakwa KBS hanya memberi perhatian kepada Hakim Danish selepas pelumba itu melakar kejayaan bersejarah di Grand Prix (GP) Republik Czech baru-baru ini.

"Terlebih dahulu saya ingin menjernihkan salah faham yang berlegar dalam media sosial yang menggambarkan seolah-olah sokongan KBS kepada Hakim Danish hanya bermula selepas kejayaan beliau mencipta sejarah di GP Republik Czech.

"Persepsi tersebut tidak benar, kerana sebaliknya, pembangunan beliau disokong secara berperingkat semenjak tahun 2021 lagi melalui laluan pembangunan bakat sukan permotoran seperti Asia Talent Cup (ATC), European Talent Cup (ETC), Red Bull Rookies Cup, JuniorGP sehinggalah ke Kejuaraan Dunia Moto3.

"Dalam tempoh itu, sokongan yang disalurkan melalui ekosistem KBS dan SIC telah membantu membina pendedahan, pengalaman, latihan dan daya saing beliau di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan bagi musim 2026, Taufiq menjelaskan sokongan terhadap sukan permotoran dua roda diteruskan menerusi suntikan dana RM 1.8 juta, yang membabitkan pecahan RM 800,000 melalui Geran Padanan Sukan dan RM 1 juta menerusi Program Pembangunan Bakat SIC.

Malah, bagi menjamin kelangsungan aksi Hakim Danish dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 2026, SIC turut menyediakan dana awal berjumlah RM 453,808 melalui dana dalaman, termasuk penggunaan Rebat MotoGP bagi memastikan kerusi dan penyertaannya dalam kejohanan berprestij itu terjamin.

Dalam perkembangan sama, Taufiq terus menyeru sektor korporat dan swasta agar tampil memainkan peranan lebih aktif dalam membantu pembangunan sukan negara menerusi penajaan dan sumbangan strategik kepada atlet.

"Pembangunan sukan negara bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor korporat serta swasta," katanya.