KEADAAN Litar Separa Basah Di Portimao Sekat Rentak Hakim Danish
Hakim Danish mendedahkan situasi permukaan litar basah menjejaskan keyakinannya sejak awal saingan sehingga menyukarkan usahanya untuk memecut ke kelompok hadapan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/23/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui kurang berpuas hati selepas terpaksa menerima hakikat sekadar menamatkan saingan Grand Prix (GP) Portugal 2026 di kedudukan ke-16.
Keputusan yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan hanya satu anak tangga di luar kelompok 15 pelumba terbaik itu sekali gus menutup peluangnya untuk mengutip sebarang mata pada pusingan kali ini.
Mengulas mengenai perlumbaan, Hakim Danish mendedahkan situasi permukaan litar basah menjejaskan keyakinannya sejak awal saingan sehingga menyukarkan usahanya untuk memecut ke kelompok hadapan.
"Sejujurnya saya kurang berpuas hati dengan keputusan ini. Keadaan litar agak mencabar kerana sebahagiannya basah dan sebahagian lagi kering. Saya agak bergelut pada awal perlumbaan untuk mara ke hadapan dan kurang keyakinan, sehingga kehilangan beberapa kedudukan,” katanya.
Biarpun kecewa dengan keputusan yang diperoleh, pelumba kelahiran Terengganu itu enggan terus dibayangi kehampaan, sebaliknya bertekad menjadikan situasi sukar tersebut sebagai ruang untuk menggilap lagi kemahiran tunggangannya menjelang aksi penutup tirai musim ini.
"Apa pun, saya jadikan cabaran hari ini sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki tunggangan dan kemahiran dalam situasi mencabar seperti ini, terutama ketika berdepan keadaan litar dengan tahap cengkaman rendah.
"Saya akan mengambil pengalaman ini sebagai pembelajaran dan kini menantikan pusingan terakhir di Valencia," katanya.

