KEBANGKITAN Menakjubkan Marco Bezzecchi Di Mandalika

Kejayaan pada GP Indonesia 2025 di Mandalika adalah yang kedua buat pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi pada Perlumbaan Sprint pada musim ini mengikuti kejayaan di San Marino di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20252 min read

PELUMBA Aprilia Racing, Marc Bezzecchi menampilkan salah satu kebangkitan paling mengujakan dalam kempen MotoGP musim ini sebelum meraih kemenangan dramatik dalam Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Indonesia 2025 di Litar Mandalika, hari ini.

Meskipun bermula petak utama, pelumba kelahiran Itali itu tergelincir ke kedudukan kelapan selepas permulaan yang kurang menjadi.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya pelumba rookie MotoGP musim ini, Fermin Aldeguer dari pasukan Gresini Ducati mengambil kesempatan untuk mendahului perlumbaan, dengan Raul Fernandez dan Pedro Acosta rapat di belakang.

Bezzecchi yang ketika sesi kelayakan mencatatkan rekod terpantas terbaharu Mandalika begitupun tidak berputus asa.

Dan selepas bekerja keras, dia berjaya meletakkan diri ke depan sebelum memintas Fernandez pada pusingan kesembilan untuk menduduki tempat kedua.

Malah sekali pun Aldeguer memiliki kelebihan dua saat di hadapan, Bezzecchi mengurangkan jurang dengan pantas sebelum melakukan serangan di pusingan terakhir.

Sedar kemenangan mampu diraih, Bezzecchi melakukan gerakan menarik di selekoh 10 untuk memintas Aldeguer dan meskipun pelumba muda kelahiran Sepanyol itu cuba membalas di selekoh 12, Bezzecchi kekal tenang dan mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat.

Kemenangan adalah yang kedua buat Bezzecchi dalam perlumbaan Sprint musim ini, dan yang kedua dalam tiga pusingan terakhir.

Aldeguer terpaksa berpuas hati menamatkan saingan hanya 0.157 saat di belakang, manakala Fernandez melengkapkan podium - pencapaian pertama pelumba Trackhouse Aprilia itu dalam karier MotoGP.

Marc Marquez, juara dunia 2025 yang dikenakan penalti ‘long lap’ selepas bertembung dengan Alex Rins pada pusingan pembukaan dan jatuh ke tempat ke-13 berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh.

Rakan sepasukan Marquez di Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia, pula mengalami hari yang mengecewakan apabila tercicir ke tempat terakhir, hampir 30 saat di belakang pendahulu.

Begitupun, kemenangan itu tetap tidak menghalang pasukan Ducati tetap dinobatkan sebagai juara dunia kategori pasukan, melengkapkan gelaran triple crown musim ini.

Perlumbaan 13 pusingan itu turut menyaksikan beberapa insiden kemalangan membabitkan Fabio Quartararo (Monster Yamaha), Johann Zarco (LCR Honda), Acosta (Red Bull KTM), Enea Bastianini (Tech3 KTM) dan Somkiat Chantra (LCR Honda).

Luca Marini dari Honda HRC turut dikenakan penalti berikutan pelanggaran tekanan tayar minimum yang meletakkannya di tangga ke-13 sekalipun menamatkan perlumbaan di tempat ke-6.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Indonesia 2025

  1. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing, 19m 37.047s

  2. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +0.157s

  3. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +4.062s

  4. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +5.832s

  5. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +8.759s

  6. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), +9.772s

  7. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +11.980s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +12.096s

  9. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +12.988s

  10. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +13.312s

  11. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +15.905s

  12. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +16.226s

  13. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +16.759s

  14. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +29.393s

Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), DNF

Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), DNF

Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), DNF